Sukan SEA: Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah hanya selangkah tuai emas

Beregu wanita Malaysia, Pearly Tan dan M. Thinaah, meraikan kemenangan selepas menewaskan gandingan Indonesia, Rachel Allessya Rose dan Febi Setianingrum, pada perlawanan separuh akhir. - Foto Bernama
BANGKOK: Impian menyaksikan perlawanan akhir beregu lelaki sesama Malaysia tidak kesampaian apabila hanya juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun tersingkir pada peringkat separuh akhir Sukan SEA 2025 di Pathum Thani hari ini.
Ringkasan AI
- Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke final acara beregu lelaki Sukan SEA 2025 selepas menewaskan gandingan Indonesia; Man Wei Chong-Tee Kai Wun tersingkir pada separuh akhir di Pathum Thani.
- Pasangan Malaysia fokus untuk memburu pingat emas kedua Sukan SEA selepas menang mudah; Man Wei Chong dan Tee Kai Wun mengaku bermain terlalu berhati-hati dan gugup dalam perlawanan.
- Pearly Tan-M. Thinaah terpaksa bersusah payah sebelum menang dalam acara beregu wanita; mereka akan menentang pasangan Indonesia di final, dengan impian untuk menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Malaysia dalam acara tersebut.
"Emas sentiasa menjadi matlamat kami. Kami tidak menganggapnya sebagai tekanan yang terlalu besar untuk kami, kami hanya mahu berjuang untuk mendapatkan pingat emas ini. Kami akan melakukan yang terbaik, kami berjanji," katanya selepas perlawanan hari ini.
Pasangan itu memenangi pingat emas Sukan SEA pertama mereka pada edisi 2019 selepas menewaskan gandingan Thailand Bodin Isara-Maneepong Jongjit 18-21, 21-15, 21-16.
Sementara itu, Wei Chong yang kecewa mengakui mereka bermain terlalu berhati-hati pada separuh akhir manakala Kai Wun berkata perasaan gugup menguasai mereka sehingga melakukan kesilapan yang merugikan.
Dalam acara beregu wanita pilihan utama Pearly Tan-M. Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pilihan keempat Rachel Allessya Rose-Febi Setianingrum 21-14, 19-21, 21-16 dalam perlawanan sengit selama satu jam 18 minit.
Thinaah berkata mereka lega dapat melepasi halangan itu dan memuji pasangan Indonesia berkenaan kerana memberi tentangan hebat sehingga ke set penentuan.
Pemain berusia 27 tahun itu berkata satu-satunya impian menjelang final adalah mahu meninggalkan gelanggang tanpa sebarang penyesalan pada penampilan pertama mereka pada temasya dwitahunan itu.
Pearly pula berkata mereka akan memberikan tumpuan kepada pemulihan ketika berusaha menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Malaysia dalam acara beregu wanita, yang kali terakhir dimenangi oleh Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada edisi 2015 di Singapura.
Naib juara Kejohanan Dunia 2025 itu akan berdepan gandingan Indonesia Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari pada final esok, yang sebelum itu mudah menewaskan pasangan Vietnam Bui Bich Phuong-Vu Thi Trang 21-10, 21-9.
Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


