Sukan SEA: Cheong Min tepati ramalan sumbang emas pertama kem wushu

Bernama
Mei 10, 2023 07:07 MYT
Atlet Wushu negara Tan Cheong Min ketika beraksi pada acara Nanquan wanita sempena Sukan SEA 2023 di Pusat Konvensyen Chroy Changvar hari ini. - Foto BERNAMA
PHNOM PENH: Seperti dijangka, atlet wushu kebangsaan Tan Cheong Min menghadiahkan pingat emas sulung kem wushu negara pada temasya Sukan SEA 2023 di sini hari ini.
Pada final acara Nanquan wanita yang berlangsung di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, juara dunia 2019 itu yang kali pertama beraksi pada Sukan SEA mengungguli saingan untuk merangkul emas selepas mengumpul keseluruhan 9.626 mata.
Pingat perak menjadi milik atlet Indonesia Tasya Ayu Puspa Dewi dengan kutipan mata 9.593 sementara wakil Myanmar Aye Thitsar Myint yang mengumpul 9.143 mata membawa pulang gangsa.
Cheong Min juga akan turun bersaing dalam final acara Duilian wanita bersama-sama Loh Ying Ting dan Pang Pui Yee hari ini.
Sebagai rekod, kejayaan dilakar Cheong Min hari ini merupakan emas ketiga diraih pada hari kelima temasya dan emas ke-18 kontinjen negara.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #wushu #Tan Cheong Min #emas Malaysia