SUKAN

Sukan SEA: Harimau Muda sah ke separuh akhir, Indonesia tersingkir

Bernama 12/12/2025 | 15:13 MYT
Pemain Malaysia Mohd Haizon Muhammad Haykal Danish mengawal bola pada perlawanan terakhir Kumpulan B Bola Sepak Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Rajamangala hari ini. - Bernama
BANGKOK: Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan boleh menarik nafas lega selepas sah melayakkan diri ke peringkat separuh akhir saingan bola sepak lelaki Sukan SEA Thailand 2025, selaku naib juara kumpulan terbaik.

Ia selepas penyandang juara Indonesia, gagal menempatkan diri sebagai naib juara kumpulan terbaik biarpun merakam kemenangan 3-1 ke atas Myanmar pada aksi terakhir Kumpulan C, malam ini.

Skuad Harimau Muda bimbingan Mohd Nafuzi Zain muncul naib juara kumpulan terbaik dengan kelebihan jaringan, apabila mengumpul keseluruhan empat gol berbanding Indonesia yang hanya meledak tiga gol selepas dua perlawanan, sekali gus tersingkir daripada saingan.

Di pentas separuh akhir, Malaysia dijadual bertemu pasukan tuan rumah yang menjuarai Kumpulan A di Stadium Rajamangala, Isnin depan.

Satu lagi aksi separuh akhir menemukan juara Kumpulan B Vietnam dan juara Kumpulan C Filipina.

Sebagai rekod, Malaysia terkandas seawal peringkat kumpulan pada edisi 2023 di Kemboja, selepas tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa pada edisi 2021 di Hanoi.

Kali terakhir skuad negara menaiki podium ialah ketika memenangi pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

#Sukan SEA #Thailand #harimau muda #bola sepak #Separuh Akhir