[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
SUKAN

Sukan SEA: Malaysia ungguli kriket, emas kedua menerusi T10 lelaki

Bernama 17/12/2025 | 10:40 MYT
Skuad negara menduduki tangga teratas kedudukan dengan rekod sempurna empat kemenangan daripada empat perlawanan untuk mengumpul lapan mata. - Stadium Astro
BANGKOK: Pasukan kriket Malaysia meneruskan rentak cemerlang apabila menambah satu lagi pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 selepas menjuarai acara T10 lelaki di sini hari ini.


Ringkasan AI
  • Pasukan kriket Malaysia menjuarai acara T10 lelaki di Sukan SEA Thailand 2025, menambah satu lagi pingat emas selepas meraih emas acara T20 sebelum ini.
  • Malaysia mengatasi Indonesia dengan kemenangan tujuh wiket dalam perlawanan terakhir, mengekalkan rekod sempurna empat kemenangan daripada empat perlawanan.
  • Pengurus pasukan, Vijayalingam Vythilingam, gembira dengan pencapaian dua pingat emas pasukan lelaki kebangsaan dan menekankan kejayaan disebabkan oleh kerjasama dan konsistensi pasukan.


Masih segar dengan kejayaan merangkul emas acara T20 lelaki Sabtu lepas, skuad Malaysia menambah satu lagi kejuaraan selepas mengungguli saingan liga sepusingan yang dilengkapkan dengan kemenangan tujuh wiket ke atas Indonesia dalam perlawanan terakhir di Padang Kriket TerdThai.

Malaysia yang memilih membuat balingan terlebih dahulu berjaya menyekat Indonesia kepada 61 larian dalam 10 over sebelum selesa memburu sasaran itu dengan 65 larian dalam 8.0 over bagi mengesahkan pingat emas.

Skuad negara menduduki tangga teratas kedudukan dengan rekod sempurna empat kemenangan daripada empat perlawanan untuk mengumpul lapan mata, sekali gus menebus kekecewaan apabila sekadar meraih pingat perak pada edisi sebelumnya di Phnom Penh, Kemboja.

Pasukan kebangsaan membuka kempen T10 pada temasya kali ini dengan kemenangan empat wiket ke atas Filipina, diikuti kemenangan meyakinkan ke atas Singapura (lapan wiket) dan tuan rumah Thailand dengan sembilan wiket.

Sementara itu, pengurus pasukan Vijayalingam Vythilingam gembira kerana skuad lelaki kebangsaan berjaya mencapai sasaran dua pingat emas pada temasya dwitahunan ini.

"Kunci kejayaan kerana mereka beraksi secara konsisten sebagai satu pasukan.

"Ini adalah usaha menyeluruh dan itulah yang mendorong mereka meraih dua pingat emas ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Sukan SEA Thailand 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di dua wilayah, Bangkok dan Chonburi.

-- BERNAMA








#pasukan kriket Malaysia #pingat emas #Sukan SEA #T10 #terkini