PHNOM PENH: Lima hari sebelum acara wushu membuka tirai saingan di Sukan SEA 2023, disiplin sanda berdepan kemungkinan dibatalkan susulan masalah teknikal di venue pertandingan di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, di sini.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia Datuk Chong Kim Fatt berkata masalah teknikal itu melibatkan platform ataupun "leitai" bagi disiplin sanda yang masih belum dipasang manakala sistem pemarkahan turut menjejaskan saingan bagi disiplin taolu.

"Mereka (penganjur) tidak bersedia. Sistem pemarkahan tiada, platform sanda pun tiada, macam mana pertandingan mahu dijalankan bila semua tiada?.

"Sekarang saya sedang berusaha untuk bantu selesaikan masalah ini, berdasarkan mesyuarat pagi tadi untuk taolu mereka kata 60 sehingga 70 peratus boleh dianjurkan tetapi sanda bahaya, kurang daripada 50 peratus kerana tiada platform," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata keadaan itu memaksanya meminta pertolongan daripada Persekutuan Wushu Vietnam untuk meminjamkan platform sanda dalam usaha memastikan atlet kebangsaan tidak kempunan membuat penampilan di bumi Kemboja.

"Setakat ini, wushu akan masih berjalan tetapi kita tunggu dan lihat macam mana permasalahan ini dapat diselesaikan," katanya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan SEA 2023 Datuk Mohd Nasir Ali ketika dihubungi menyedari permasalahan yang sedang dihadapi skuad wushu kebangsaan, namun berharap atlet kekal fokus dan tidak terganggu dengan situasi semasa.

Saingan wushu di Sukan SEA 2023 dijadual berlangsung dari 10 sehingga 12 Mei ini menawarkan keseluruhan 20 pingat emas masing-masing 14 dari taolu manakala enam dalam kategori sanda.

Malaysia menyasarkan satu pingat emas dengan harapan diletakkan ke atas juara dunia Wong Weng Son dalam disiplin taolu.

-- BERNAMA