SUKAN

Sukan SEA: Tahniah wira wirawati negara, sasaran 200 pingat tercapai - Taufiq Johari

Khalis Khadir 18/12/2025 | 11:13 MYT
Kontinjen Malaysia mencapai sasaran 200 pingat secara keseluruhan setakat ini di Sukan SEA Thailand 2025. - KBS
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mencapai sasaran 200 pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA Thailand 2025.


Ringkasan AI
  • Malaysia mencapai sasaran 200 pingat secara keseluruhan pada Sukan SEA Thailand 2025.
  • Skuad berbasikal trek negara menyumbang pingat ke-200 menerusi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki di Hua Mark Veledrom, Bangkok.
  • Pelumba basikal trek negara dan skuad memanah compound lelaki negara masing-masing meraih pingat emas, manakala pasukan bola sepak lelaki meraih pingat gangsa selepas menewaskan Filipina.


Kejayaan itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari menerusi perkongsian di media sosial yang mengucapkan tahniah kepada wira dan wirawati negara atas usaha gigih mereka.

Berbaki dua hari lagi sebelum temasya dwitahunan ini melabuhkan tirai, skuad berbasikal trek negara tampil menyumbang pingat ke-200 itu menerusi acara kejar-mengejar berpasukan lelaki di Hua Mark Veledrom, Bangkok.

Kuartet negara Azim Aliyas, Hafiq Jafri, Yusri Shaari dan Newjoe Lau mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pasukan tuan rumah Thailand dibarisi Nattakrit Kaeonoi, Thak Kaeonoi, Thurakit Boonratanathanakorn dan Putipong Chaloemsrimueang, yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Lebih membanggakan, aksi penuh bertenaga pada Khamis itu merupakan pingat emas ke-45 setakat ini buat kem negara.

Tiga lagi kilauan emas hari ini disumbangkan oleh pelumba basikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom yang berjaya melakukan pecutan saat akhir untuk memintas pencabar tuan rumah di garisan penamat, selain Nur Aisyah Mohamad Zubir yang merangkul kejuaraan dalam acara scratch menewaskan pencabar Singapura dan Indonesia.

Angin kencang yang melanda venue pertandingan juga tidak menghalang skuad memanah compound berpasukan lelaki negara untuk menghadiahkan pingat emas selepas menewaskan tuan rumah Thailand.

Trio Mohd Juwaidi Mazuki, Alang Ariff Aqil Muhammad Ghazalli dan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki mempamerkan ketenangan dalam keadaan cuaca mencabar bagi mencatat kemenangan 232-228.

Turut mencuri tumpuan ialah acara bola sepak lelaki apabila Malaysia merangkul pingat gangsa selepas menundukkan Filipina 2-1, sekali gus menamatkan penantian skuad muda negara yang gagal meraih sebarang pingat pada tiga temasya berturut-turut.




#Sukan SEA #KBS #Taufiq Johari #sasaran pingat dicapai #terkini