Sukan SEA: Trio catur ouk chaktrang lelaki negara kurang menyerlah

Bernama
Mei 1, 2023 22:15 MYT
Suasana acara regu Wanita "Chess Ouk Chaktrang" yang berlangsung di Royal Universiti of Phnom Penh pada Sukan SEA 2023 Phnom Penh, Kemboja, 1 Mei 2023. - Foto BERNAMA
PHNOM PENH: Skuad catur ouk chaktrang lelaki negara pada Sukan SEA 2023 bermula hambar apabila tewas dalam dua perlawanan pertama Kumpulan A bagi acara triples 60 minit di Phnom Penh, Kemboja, pada Isnin.
Trio negara dibarisi Nhavin Kumaresan-Eshwant Singh Anoop Singh-Tin Shan Wen gagal menyerlah pada aksi sulung mereka di Royal University of Phnom Penh apabila tumpas kepada Warot Kananub-Wisuwat Teerapabpaisit-Worathep Timsri dari Thailand, 0-1, pada sesi pagi.
Aksi kedua skuad negara dalam sukan tradisi Kemboja sekali lagi berakhir dengan kekecewaan pada sesi petang di tangan wakil Filipina dibarisi Darwin Rosales Laylo-Eugene Oliveros Torre-Rogelio Madrigal Antonio, 0-1.
Selepas menampilkan prestasi kurang memuaskan pada Ahad, gandingan negara Chua Jia Tien-Nur Faiqah Aminuddin merakam kemenangan pertama mereka bagi acara wanita beregu 60 minit ke atas pasangan Laos, Houanchanmone Phonesavanh-Inthavong Maly, 1-0, dalam pusingan ketiga.
Bagaimanapun, Jia Tien-Nur Faiqah gagal mengekalkan momentum kemenangan apabila kalah pada pusingan keempat kepada Nu Hong An Ton-Thanh Phuong Thao Pham dari Vietnam, 0-1.
Pada Ahad, Jia Tien-Nur Faiqah memulakan kempen Sukan SEA mereka dengan keputusan seri 0.5-0.5 ketika berhadapan gandingan Thailand, Sarocha Chuemsakul-Sirikan Sukpancharoen, sebelum tunduk 0-1 kepada pasangan Filipina, Janelle Mae Bermas Frayna-Shania Mae Garcia Mendoza, pada pusingan kedua kumpulan A.
Cabaran trio lelaki serta Jia Tien-Nur Faiqah akan diteruskan hari ini apabila kedua-dua wakil negara akan berdepan pasukan tuan rumah dan Myanmar.
Sukan SEA 2023 akan dibuka secara rasmi pada 5 Mei dan berakhir 17 Mei ini.
-- BERNAMA
#catur ouk chaktrang #sukan sea 2023 #sukan tradisi #Jia Tien-Nur Faiqah