SUKAN

Sukan SEA: Tuan rumah tumbang! Malaysia tamatkan kemarau 34 tahun emas sepak takraw regu berpasukan

Astro Arena 14/12/2025 | 08:50 MYT
Skuad sepak takraw negara menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA apabila menumbangkan Thailand. - Foto Bernama
SKUAD sepak takraw negara menamatkan kemarau 34 tahun pingat emas acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA apabila menumbangkan tuan rumah, Thailand, 2-1 di Gimnasium Nakhon Pathom sebentar tadi.


Ringkasan AI
  • Skuad sepak takraw negara mengakhiri kemarau 34 tahun pingat emas acara regu berpasukan lelaki Sukan SEA dengan menewaskan Thailand 2-1 di Gimnasium Nakhon Pathom.
  • Ketua jurulatih Ahmad Jais Baharom mengetuai Malaysia meraih emas terakhir dalam acara yang sama pada 1991 di Manila, Filipina.
  • Kemenangan diperoleh selepas kejatuhan regu pertama, namun prestasi regu terbaik dalam perlawanan kedua membawa Malaysia menang dengan skor 15-11 pada set kedua dan memenangi pingat emas.


Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara itu adalah dalam edisi di Manila, Filipina, pada 1991 di mana ketua jurulatih skuad kebangsaan, Ahmad Jais Baharom, turut mewakili negara ketika itu.

Cabaran negara kali ini, bagaimanapun, tidak bermula baik apabila regu pertama, yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir, tewas tipis 1-2 dengan keputusan 9-15, 15-11, 13-15.

Kebangkitan bermula apabila Malaysia menurunkan regu terbaik dalam perlawanan kedua, di mana Shahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam menang 17-14, 15-13 ke atas Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan.

Aksi penentuan menyaksikan Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi bangkit daripada ketinggalan 0-7 untuk memenangi set pertama 15-13 dan kemasukan Zarif Marican Ibrahim Marican menggantikan Zulkifli dalam set kedua menambahkan kehebatan regu negara untuk memenangi pingat emas dengan kemenangan 15-11. -- Stadium Astro






#Sukan SEA #sepak takraw regu berpasukan #Malaysia raih emas #tumbangkan Thailand #terkini