Sukan Universiti Asean: Low Zheng Yong raih emas pertama negara

Bernama
Julai 26, 2022 14:39 MYT
Zheng Yong merekodkan catatan 3 minit 59.57 saat (s) menundukkan perenang Indonesia, Nicolas Karel Subagyo di tempat kedua dengan catatan 4:01.85s. - Gambar/ FB Sukan IPT
UBON RATCHATHANI (Thailand): Perenang negara Low Zheng Yong meraih emas sulung Malaysia pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 menerusi acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki di kampus Ban Yang Noi di sini hari ini.
Zheng Yong pada final acara itu merekodkan catatan 3 minit 59.57 saat (s) menundukkan perenang Indonesia, Nicolas Karel Subagyo di tempat kedua dengan catatan 4:01.85s.
Beliau dalam masa sama mengejutkan rakan senegara Welson Sim yang menamatkan saingan di tempat ketiga dengan catatan 4:07.29s.
Paling manis kejayaan dilakar Zheng Yong berjaya mengekalkan pingat emas dimenangi negara pada temasya edisi 2018 berlangsung di Nay Pyi Taw, Myanmar.
Dalam pada itu, hasrat bagi melihat kutipan pingat emas kedua daripada kem renang negara terbantut selepas Goh Chia Tong menamatkan saingan di tempat kedua bagi acara 400m gaya bebas wanita.
Chia Tong meraih pingat perak menamatkan saingan dengan catatan 4:28.51s di belakang perenang Singapura, Chan Zi Yi yang memenangi acara tersebut dengan catatan masa 4:27.58s
Sementara gangsa acara itu dimenangi perenang Indonesia, Prada Hanan Farmadini dengan catatan 4:28.68s.
Dalam aksi lain, kem renang turut menambah satu lagi kutipan pingat perak menerusi Ng Tze Ziang dalam acara 50m kuak kupu-kupu lelaki.
Tze Ziang merekodkan catatan 24:82s di belakang perenang Thailand Navaphat Wongcharoen yang mengungguli emas acara itu dengan catatan 24.79s.
Gangsa dimenangi perenang Indonesia, Joe Aditya Wijaya Kurniawan dengan catatan 25.05s.
--BERNAMA
#AUG #renang #Low Zheng Yong #Sukan Universiti Asean