Sukma 2022: Kontinjen Melaka sasar 20 emas

Bernama
Julai 25, 2022 00:00 MYT
Shanmugam (dua, kiri) menyampaikan watikah pelantikan kepada ADUN Pengkalan Batu Datuk Kalsom Nordin (dua, kanan) pada majlis Penyerahan Watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat di Ayer Keroh semalam. --fotoBERNAMA
MELAKA: Kontinjen Melaka menyasarkan 20 pingat emas dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2022 yang akan berlangsung pada 16 hingga 24 Sept ini di Kuala Lumpur.
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata antara sukan utama yang dilihat mampu menyumbangkan pingat emas kepada Melaka adalah wushu, badminton, silat, petanque dan renang.
"Pada temasya edisi ke-20 itu, Kontinjen Melaka akan menghantar 488 atlet bagi mengambil bahagian dalam kesemua 31 jenis sukan yang dipertandingkan dan mereka merupakan atlet dalam senarai sedia ada ketika Sukma Johor 2020 yang dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.
"Kita menyasarkan lebih 10 peratus daripada jumlah yang kita peroleh sebelum ini ketika Sukma 2018 di Perak iaitu 18 pingat emas, 18 perak dan 18 gangsa," katanya kepada pemberita di Ayer Keroh di sini semalam.
Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Watikah Bapa Angkat, Jabatan Angkat dan Anak Angkat sempena Sukma 2022 yang turut dihadiri Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka Mahathir Mustafa.
Mengulas lanjut, Shanmugam berkata bapa angkat dan agensi yang dilantik itu berperanan memantau perkembangan latihan serta menyelenggara infrastruktur yang diperlukan pasukan dan atlet yang diwakili mereka.
"Seramai 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai kerajaan dan agensi serta jabatan kerajaan di negeri ini telah dilantik untuk menjadi bapa angkat dan jabatan angkat bagi 31 jenis sukan sempena Sukma 2022.
"Selain itu, kerajaan negeri juga memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi membiayai keperluan dan kelengkapan serta peralatan Kontinjen Melaka pada kejohanan itu," katanya.
Sementara itu, Mahathir berkata antara cabaran besar dihadapi kontinjen itu ialah untuk menyediakan atlet yang mampu mengekalkan tahap kecergasan dan pencapaian mereka berikutan tempoh dua tahun pandemik COVID-19 memberi impak besar kepada prestasi atlet.
-- BERNAMA
#Sukma 2022 #Kontinjen Melaka #VP Shanmugam #pingat emas