KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan supaya Pemangku Raja, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terus menerajui dan mengendalikan pasukan Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT).

Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dalam satu kenyataan pada Khamis.

Titah baginda, ia bagi memastikan sukan bola sepak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa terus dimartabatkan.

Sebelum ini, Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bola Sepak JDT mengumumkan untuk berundur daripada tanggungjawab itu.

Jelas Tunku Ismail, keputusan itu dibuat bagi memberi komitmen lain dan beliau menyerahkan urusan harian kelab bola sepak itu kepada pengurusan tertinggi kelab.

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat pelbagai reaksi, antaranya jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon, yang terkejut dengan keputusan pemilik Kelab Bola Sepak JDT itu.

Jelasnya, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu perlu mempertimbangkan semula keputusan tersebut.

Tambah jurulatih daripada Korea Selatan itu lagi, pengunduran Tunku Ismail merupakan satu kerugian besar kepada bola sepak Malaysia.