Sultan Johor sumbang RM4 juta kepada FAM

Bernama
Ogos 2, 2017 13:37 MYT
Pemain-pemain skuad B-22 kebangsaan meraikan kejayaan selepas menewaskan skuad Indonesia dengan jaringan 3-0 pada perlawanan pembuka tirai Kumpulan H kelayakan AFC Bawah 23 tahun di Stadium Nasional Supachalasai, 19 Julai, 2017. --fotoBERNAMA
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini berkenan untuk menyumbang sejumlah RM4 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Menurut Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan hari ini, sumbangan berkenaan adalah sebahagian daripada pemberian bonus kepada pasukan kebangsaan Bawah 22 (B-22) yang berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) 2018 di China.
"Kurniaan ini juga dapat membantu FAM dalam pembangunan sukan bola sepak tanah air secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan itu.
Skuad B-22 negara bimbingan Datuk Ong Kim Swee beraksi cemerlang di pusingan kelayakan yang berlangsung di Bangkok, Thailand Julai lepas apabila muncul juara Kumpulan H dengan mengutip enam mata.
-- BERNAMA
#Bangkok #bola sepak #FAM #Hamidin Mohd Amin #Ong Kim Swee #Persatuan Bolasepak Malaysia #Sultan Ibrahim Sultan Iskandar #Sultan Johor