SPORTS

Sultan Mizan rasmi TIEP

Bernama 18/05/2025 | 22:40 MYT
Sultan Mizan berkenan menyaksikan 'show jumping' pada perasmian Terengganu International Endurance Park and Clubhouse di Lembah Bidong sempena sambutan hari keputeraan baginda yang ke-63 di TIEP, Bandar Permaisuri, 18 Mei 2025. --fotoBERNAMA
BANDAR PERMAISURI: Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Terengganu International Endurance Park (TIEP) and Clubhouse di Lembah Bidong di sini sempena sambutan hari keputeraan baginda yang ke-63 semalam.
Pada majlis itu, Sultan Mizan yang diiringi Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan turut berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Pesta Flora Bidong.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam ucapannya berkata TIEP, yang berkeluasan 47 hektar, bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu dalam arena sukan berkuda lasak malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Beliau berkata ia dilengkapi kemudahan bertaraf antarabangsa seperti trek kuda lasak sejauh 160 kilometer, kandang moden, hospital veterinar dan kawasan latihan.
"Sehingga kini, sebanyak 84 kejohanan berkuda bertaraf antarabangsa dan 30 kejohanan di peringkat kebangsaan telah dianjurkan di TIEP, menjadikan ia sebagai lokasi sukan berkuda paling aktif serta berprestij di rantau ini.
"Malah TIEP juga menjadi saksi kejayaan Sultan Mizan merangkul pingat emas dalam acara individu 80 kilometer serta acara berpasukan pada Sukan SEA 2017 sekali gus membanggakan rakyat Malaysia dan Terengganu khasnya," katanya sambil menambah TIEP juga menjadi pusat latihan sukan berkuda yang telah melahirkan ramai atlet bertaraf dunia.
-- BERNAMA
#Sultan Mizan Zainal Abidin #Terengganu International Endurance Park #Ahmad Samsuri Mokhtar #TIEP #sukan berkuda