SUKAN

SummerSlam 2025: Cody Rhodes rampas semula kejuaraan WWE, Lesnar kembali.. 'hadiahkan' F5 kepada Cena

Haider Yutim 04/08/2025 | 03:19 MYT
Cody Rhodes (atas, kanan) menebus kekalahan di WrestleMania 41 lalu, sekali gus merampas semula kejuaraan daripada Cena. - Foto tangkap layar Instagram @WWE
ELEMEN kejutan sekali lagi mewarnai hari kedua WWE SummerSlam 2025 yang berlangsung di MetLife Stadium, New Jersey, Amerika Syarikat, apabila legenda John Cena akhirnya tewas kepada Cody Rhodes dalam pertarungan bagi gelaran Undisputed WWE Championship.


Ringkasan AI
  • Cody Rhodes menewaskan John Cena dalam perlawanan street fight dan merampas semula gelaran Undisputed WWE Championship pada hari kedua SummerSlam 2025.
  • Brock Lesnar mengejutkan peminat dengan kemunculan selepas perlawanan dan menyerang Cena dengan F-5.
  • Seth Rollins menggunakan beg Money in the Bank untuk menewaskan CM Punk dan menjadi Juara Dunia Heavyweight baharu, selepas Punk mengalahkan Gunther.


Pertarungan “street fight” itu menyaksikan Rhodes, yang dikenali sebagai 'The American Nightmare', bangkit menebus kekalahan di WrestleMania 41 lalu, sekali gus merampas semula kejuaraan daripada Cena.

Namun, sejurus tamat perlawanan, satu lagi detik mengejutkan tercetus apabila seorang lagi bintang lama WWE, Brock Lesnar muncul secara tiba-tiba lalu 'menghadiahkan' Cena sebuah F-5 yang membuatkan stadium bergema dengan sorakan peminat.

Lesnar dan Cena mempunyai sejarah panjang di dalam gelanggang, dan tindakan ‘The Beast’ itu memberi bayangan bahawa perseteruan antara dua legenda WWE itu bakal bersambung lagi.

Ketua Pegawai Kandungan WWE, Paul Levesque atau lebih dikenali sebagai Triple H, ketika ditanya mengenai kepulangan Lesnar dalam sidang media selepas acara berkata:

“Bila 'The Beast' muncul, suasana terus berubah. Apa sahaja yang anda jangka bakal berlaku... semuanya akan hilang kerana kehadiran Brock akan mengubah dinamik itu. Ia menjadikan semuanya tidak dapat diduga. Sangat hebat untuk lihat dia kembali.”

Selain itu, ura-ura mengenai 'heel turn' oleh Rhodes juga tidak berlaku, walaupun ramai peminat membandingkan penampilannya yang berambut perang serta jubahnya dengan Homelander dari siri "The Boys".

Rhodes sebelum ini juga telah menafikan dakwaan tersebut, menjelaskan bahawa jubahnya berasaskan pakaian seragam ketenteraan dan bukannya watak jahat itu.

Sebagai rekod, Cena sebelum ini memecahkan rekod Ric Flair dengan kejuaraan WWE ke-17 selepas menewaskan Rhodes di WrestleMania 41 pada April lalu.

Gelaran itu merupakan yang pertama buat Cena sejak 2017, dan diperoleh dalam tahun terakhir kariernya yang digelar sebagai ‘farewell tour’.

Selepas melakukan ‘heel turn’ (bertukar kepada watak jahat) pada Elimination Chamber Mac lalu, Cena kembali sebagai ‘babyface’ (watak baik) di episod SmackDown minggu lalu, iaitu satu perubahan yang mengundang pelbagai reaksi dan juga sangsi dalam kalangan peminat.

Satu lagi perlawanan yang menjadi tumpuan ialah pertarungan CM Punk menentang Gunther pada hari pertama SummerSlam untuk gelaran World Heavyweight Championship.

Dalam aksi berdurasi lebih 30 minit, Punk akhirnya muncul sebagai juara dunia buat kali pertama sejak 12 tahun.

Namun, kegembiraan itu hanya bertahan untuk seketika apabila laungan 'burn it down' tiba-tiba kedengaran di stadium.

Seth Rollins, yang sebelum ini didakwa mengalami kecederaan lutut kanan, muncul di penghujung acara sambil bertongkat, sebelum secara mengejut melempar tongkat tersebut dan berlari ke gelanggang membawa beg Money in the Bank miliknya.

Dalam aksi dramatik, Rollins melakukan ‘cash-in’ ke atas Punk yang keletihan selepas pertarungan sengit menentang Gunther. Satu demi satu serangan dilancarkan, termasuk hentakan ‘stomp’ dan pukulan dengan beg MITB, sebelum pengadil mengira hingga tiga.

Sekelip mata, Rollins dinobatkan sebagai juara baharu World Heavyweight - satu lagi momen ‘heist of the century’ yang mengimbas kembali detik sensasi beliau di WrestleMania 31 satu ketika dahulu.

Bagi CM Punk, Drew McIntyre menyifatkannya sebagai 'balasan karma' atas apa pernah dilakukan oleh Punk terhadap dirinya pada WrestleMania XL tahun lalu.



Berikut adalah keputusan penuh WWE SummerSlam 2025:

Malam pertama

1. Seth Rollins melakukan 'cash-in' Money in the Bank dan menewaskan CM Punk (Juara baharu Kejuaraan Dunia Heavyweight WWE)
2. CM Punk menewaskan Gunther (bagi Kejuaraan Dunia Heavyweight WWE, sebelum 'cash-in' oleh Rollins)
3. Roman Reigns & Jey Uso menewaskan Bron Breakker & Bronson Reed
4. Drew McIntyre & Logan Paul menewaskan Randy Orton & Jelly Roll
5. Tiffany Stratton (c) menewaskan Jade Cargill (bagi Kejuaraan Wanita WWE)
6. Alexa Bliss & Charlotte Flair menewaskan Raquel Rodriguez & Roxanne Perez (c) (Juara baharu tag team Wanita WWE)
7. Sami Zayn menewaskan Karrion Kross

Malam kedua

1. Naomi (c) menewaskan Rhea Ripley dan Iyo Sky (Perlawanan 'triple threat' untuk Kejuaraan Dunia Wanita WWE)
2. Wyatt Sicks (Dexter Lumis & Joe Gacy) (c) menang 'Six-Pack TLC Match' menewaskan 'The Street Profits, The Motor City Machine Guns, #DIY, Fraxiom, Andrade & Rey Fenix' (bagi Kejuaraan Tag Team WWE)
3. Becky Lynch (c) menewaskan Lyra Valkyria (Kejuaraan Intercontinental Wanita WWE)
4. Solo Sikoa (c) menewaskan Jacob Fatu (Kejuaraan United States)
5. Dominik Mysterio (c) menewaskan AJ Styles (Kejuaraan Intercontinental)
6. Cody Rhodes menewaskan John Cena (c) (Kejuaraan 'Undisputed' WWE)



#WWE SummerSlam #WWE Undisputed Championship #Cody Rhodes #John Cena