KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merancang memiliki pemain secara tetap bagi skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita pada masa depan.

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata apa yang berlaku di Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja telah membuka mata KHM untuk memastikan skuad hoki dalam dewan kebangsaan dibarisi pemain secara tetap memandangkan Malaysia berpotensi besar menguasai acara itu.

"Kita perlu mendapatkan pemain tetap hoki dalam dewan terlebih dahulu, kerana sebelum ini kita hanya tangkap muat pemain senior (hoki padang) ke dalam skuad hoki dalam dewan untuk menjadikan pasukan itu kuat.

"Bagi memberi sokongan penuh kepada skuad hoki dalam dewan, KHM berhasrat menubuhkan program sepenuh masa buat pemain, lebih-lebih lagi dengan kelayakan Piala Dunia bermula tahun depan," katanya kepada pemberita, di sini.

Mengenai prestasi skuad hoki dalam dewan wanita dan negara di Sukan SEA, beliau tetap berbangga dengan pencapaian pasukan kebangsaan biarpun gagal mempertahankan emas selepas sekadar membawa pulang dua perak di Kemboja.

Katanya skuad kebangsaan berdepan kekangan kewangan dan hanya memiliki masa sebulan untuk menjalani latihan penuh, lebih-lebih lagi pada bulan puasa selepas mereka sibuk dengan komitmen bersama pasukan padang sebelum ini berbanding pencabar lain termasuk Indonesia dan Thailand yang dilaporkan melabur jutaan ringgit termasuk menjalani jelajah antarabangsa selama setahun sebelum ke Sukan SEA.

"Bagi skuad wanita hoki dalam dewan, saya tak segan silu amat bangga dengan mereka... mereka berentap dengan pasukan juara Asia, Thailand dan masih boleh menandingi pasukan itu, kalah hanya menerusi pukulan penalti.

"Bagi skuad lelaki, pasukan kita beraksi dengan baik, dan masih berupaya ke final. Walaupun mendahului Indonesia dengan 3-0, gawang gol kita dibolosi tiga kali kemudiannya (dalam masa 16 minit). Saya sudah dapatkan punca sebenar apa yang berlaku selepas berbincang dengan jurulatih," katanya.

Skuad wanita tumpas 1-2 dalam pukulan penalti memandangkan mereka terikat 0-0 pada masa sebenar dengan Thailand pada aksi final manakala pasukan lelaki tewas kepada Indonesia, juga menerusi pukulan penalti, 1-2, selepas seri 3-3 pada masa sebenar.

Beliau pada masa sama turut mengucapkan tahniah dan berbangga dengan keupayaan dimiliki bekas pengendali skuad hoki padang wanita kebangsaan, Muhammad Dharma Raj Abdullah dalam usaha membangun dan memajukan pasukan kebangsaan lelaki dan wanita Indonesia sejak dilantik pengarah teknikal republik itu pada Mac 2021.

Prestasi hoki Indonesia menunjukkan peningkatan mendadak sejak kehadiran Dharma Raj dan terbaharu beliau membawa pasukan hoki dalam dewan lelaki republik itu mencipta sejarah merangkul emas sulung di Sukan SEA di sini, dengan menewaskan Malaysia di final.

Dalam pada itu, Subahan optimis hoki dalam dewan mungkin akan kerap dianjurkan di Sukan SEA selepas ini memandangkan persaingan dilihat lebih seimbang bagi acara tersebut berbanding hoki padang yang menyaksikan Malaysia sememangnya sukar ditandingi negara serantau lain.

-- BERNAMA