SUKAN

"Tak pernah kami bolos 3 gol di SSI' - TMJ beri penjelasan

Astro Arena 23/08/2025 | 08:01 MYT
TMJ menegaskan bahawa pasukan tersebut sedang melalui fasa transisi besar-besaran apabila menampilkan hampir 70 peratus muka baharu. - Stadium Astro
PEMANGKU Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, akhirnya membuka mulut berkenaan perlawanan Liga Super membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT) menerima asakan hebat dari Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • JDT menang 5-3, namun Negeri Sembilan memberi tentangan luar biasa, membolosi gawang JDT sebanyak tiga kali sesuatu yang jarang berlaku di gelanggang sendiri.
  • TMJ menjelaskan bahawa JDT kini dalam proses pembentukan semula dengan hampir 70% pemain baharu dan sistem kejurulatihan yang segar.
  • Baginda menekankan bahawa kesilapan individu dalam sistem tiga pertahanan menjadi punca utama bolos, bukan kerana pemain baharu semata-mata.


Dalam satu temu bual menerusi YouTube JDTtv, Tunku Mahkota Johor (TMJ) memberikan pandangan peribadi selepas menyaksikan beberapa aksi awal Harimau Selatan setakat ini.

Pemilik JDT itu menegaskan bahawa juara Liga Super 11 kali berturut-turut tersebut sedang melalui fasa transisi besar-besaran apabila menampilkan hampir 70 peratus muka baharu termasuk sistem kejurulatihan yang baru.

Baginda juga menilai prestasi anak buah, sambil menjelaskan punca utama bagaimana jaguh Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) itu menerima tentangan sengit sewaktu berjumpa Hoben Jang Hoben.

Namun, TMJ tetap optimis dengan keputusan dan sentiasa mempercayai kelabnya mampu meneruskan rekod terbaik musim ini.




"Tak pernah kami bolos tiga gol di tempat sendiri dan itu berlaku ketika bertemu Negeri Sembilan.
"Tetapi, perkara itu terjadi bukan disebabkan pemain baharu.

"Jika lihat kepada video ulangan, bukan kerana pasukan membuat kesilapan, tetapi ada sedikit kesilapan individu.

"Apabila bermain secara tiga pertahanan, anda perlu pantas turun semula dan tutup ruang di belakang.

"Tetapi apabila ada satu atau dua pemain cuba untuk membuat perangkap ofsaid, kita sepatutnya tidak berbuat demikian jika bermain dengan tiga pertahanan.

"Oleh kerana ini adalah benda baru, berkemungkinan ada beberapa pemain belum memahami taktik tertentu yang ditetapkan oleh jurulatih.

"Perkara ini akan terus ditambah baik. Saya tahu mereka akan 'improve'," katanya.

Ditambah mengenai sasaran musim ini, TMJ berlandaskan fakta dan sangat realistik terhadap pembentukan skuad JDT.

"Sasaran saya rasional.

"Kenapa kami hanya menang 3-0 lawan Selangor.

"Kenapa kami menang 5-3 sahaja dengan Negeri Sembilan.

"Bukan kami sahaja yang merancang untuk memperbaiki pasukan.

"Setiap pasukan yang bertanding juga memiliki persiapan tersendiri.

"Mereka juga sedang meningkat.

"Bukan mudah untuk kami kekalkan rekod selama tiga musim ini," tambahnya. -- Stadium Astro




#JDT #Liga Super #TMJ #tunku mahkota ismail #transisi besar-besaran