Tambahan masa 10 minit ketika JDT bertemu NSFC satu tindakan 'rare', geli hati - Sanusi

Abd Hadi Che Awang
Mei 18, 2022 08:47 MYT
Muhammad Sanusi memuji kemampuan pasukan NSFC yang mampu mengikat pasukan gergasi, JDT tanpa jaringan dalam perlawanan sebelum ini, namun, tewas selepas masa tambahan diberikan selama 10 minit. - Gambar fail
ALOR SETAR: Kesemua pemain pasukan Kedah Darul Aman FC (KDAFC) diharap dapat memperbaiki persembahan bagi mengakhiri kemarau kemenangan sejak tewas 4-0 kepada pasukan Sabah FC penghujung April lalu, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu, peringatan itu diberikan susulan
keputusan perlawanan Liga Super membabitkan KDAFC menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan, malam tadi.
Jelasnya, KDAFC merupakan antara pasukan yang berbelanja besar selepas mewarisi perbelanjaan daripada pengurusan sebelum ini iaitu lebih RM20 juta setahun berbanding pasukan NSFC yang membelanjakan sekitar RM11 juta setahun.
Dalam masa sama, Muhammad Sanusi memuji kemampuan pasukan NSFC yang mampu mengikat pasukan gergasi, JDT tanpa jaringan dalam perlawanan sebelum ini, namun, tewas selepas masa tambahan diberikan selama 10 minit.
Menurut Muhammad Sanusi, keputusan memberikan masa tambahan yang sangat lama itu merupakan satu perkara yang luar biasa, aneh atau 'rare' dalam permainan bola sepak bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.
Pandangan itu, tegas Menteri Besar Kedah itu, bukan sahaja dikongsi beliau sahaja, bahkan turut menjadi bahan perdebatan dalam kalangan majoriti peminat bola sepak di media-media sosial.
Sehubungan itu, beliau menggesa, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sewajarnya menangani perkara yang 'menggelikan hati' ini agar mutu dan kualiti bola sepak negara terus meningkat.
"(Bukan sahaja seri dengan KDAFC), (pasukan) Negeri Sembilan FC juga berjaya mengikat JDT 0-0 pada 90 minit pertama sehingga JDT boleh menewaskan Negeri Sembilan FC hanya dengan tambahan masa 10 minit.
"(Itu) satu kejadian luar biasa dalam kancah bola sepak di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia, di seluruh dunia (mana ada) tambahan 10 minit, (ia) satu perkara yang sangat asing, jadi pasukan yang begitu kuat hendak atasi satu pasukan yang berbelanja kecil kena tambah 10 minit saya rasa satu yang luar biasa,
"Saya harap perkara ini diberi pertimbangan oleh FAM, mata sedang menumpu kepada mereka, sebagai ahli gabungan FAM kita nak perkara yang 'menggeli hati' ini dapat ditangani segera," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman di sini, pada Rabu.
Terdahulu, KDAFC yang seri dengan NSFC malam tadi kekal di tangga keempat Liga Super sementara JDT masih lagi berada di puncak liga meskipun bermain kurang empat perlawanan.
Dalam perlawanan terakhir JDT, jaringan Fernando Forestieri pada minit ke-100 membawa JDT meleburkan rekod tanpa kalah NSFC, sekali gus merampas kembali kedudukan pendahulu Liga Super.
#JDT #masa tambahan #Muhammad Sanusi Md Nor #Presiden KFA