Menjelang perlawanan antara Manchester United menentang Arsenal Ahad ini, sudah pastinya ia bakal menarik tumpuan ramai ketika pemain itu mula memasuki padang.

Ini kerana, dalam perlawanan akan datang itu, The Gunners perlu melakukan aksi ‘Guard of Honour’ kepada pemain United atas kejayaan mereka merangkul gelaran juara Liga Perdana Inggeris buat kali ke-20. Ini merupakan satu penghormatan di mana pasukan lawan dikehendakki beratur dalam dua barisan dan memberi laluan hormat kepada Juara liga sebelum permainan bermula.

Tamparan hebat juga diberikan kepada skuad Arsenal apabila tradisi ini perlu dilakukan di gelanggang sendiri termasuk kepada bekas kaptennya, Robin Van Persie. Sehingga hari ini, ramai peminat Arsenal mempersalahkan pengurusan the Gunners kerana tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mengikat Van Persie supaya kekal bersama mereka untuk musim 2013 dan seterusnya.

Pengurusan Arsenal memang terkenal kerana tidak sanggup membayar gaji mahal kepada pemain dan rela mereka berpindah ke kelab lain. Kegagalan pasukan menarik lebih ramai pemain berkaliber membantutkan usaha Arsenal untuk menyerlah dalam pertandingan di peringkat Eropah, sesuatu yang amat diidamkan oleh setiap pemain profesional.

Kegagalan Arsenal memenuhi cita-cita Van Persie yang menganggap mereka kurang beriya untuk melakukan apa-apa sahaja untuk memenuhi hasratnya menyebabkan pemain itu mudah dipinang oleh United.

Sepanjang musim 2013 bersama United, Van Persie telah mempamerkan aksi cemerlang untuk mengukuhkan kedudukan skuad The Red Devils dengan kelebihan 16 mata di depan pencabar terdekat, Manchester City ketika saingan musim ini masih berbaki empat perlawanan, sekali gus menebus kekecewaan musim lalu.

Dalam perkembangan lain, penyerang Liverpool, Luis Suarez dihukum gantung 10 perlawanan oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris ekoran insiden kerakusannya menggigit lengan pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic hujung minggu lalu.

Pergantungan yang berkuatkuasa serta-merta itu turut memberi kesan kepada penjaring gol terbanyak Liverpool untuk beraksi dalam empat baki perlawanan dan enam perlawanan pertama musim depan.