SUKAN

Tang Jie-Ee Wei guna bahasa Melayu, singkir No 1 dunia

Sinar Harian 21/09/2025 | 01:40 MYT
Tang Jie (kiri) dan Ee Wei hanya selangkah lagi bergelar juara Masters China 2025. - Foto Agensi/Sinar Harian
DI TENGAH gegak-gempita sorakan penyokong tuan rumah di Shenzhen Arena, ada satu momen yang benar-benar mencuri perhatian.

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tenang bertukar arahan dalam Bahasa Melayu sepanjang aksi separuh akhir Masters China semalam.

Arahan ringkas seperti “depan!”, “tukar!”, cukup untuk mereka saling memahami.

Namun bagi lawan mereka, gandingan nombor satu dunia Feng Yanzhe-Huang Dongping, setiap perkataan itu ibarat kod sulit yang mustahil diuraikan.

Hasilnya, strategi pasangan Malaysia sukar dibaca dan lawan kerap terperangkap.

Pertarungan berlangsung sengit. Selepas tewas tipis 22-24 di set pertama, Tang Jie-Ee Wei bangkit dengan semangat juang luar biasa.

Disokong komunikasi 'licik' yang mengelirukan lawan, mereka meraih kemenangan dua set berikutnya 21-19, 21-17 untuk menamatkan perlawanan epik 80 minit.

Kejayaan itu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka sejak muncul juara dunia di Paris, Perancis bulan lalu, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara beregu campuran paling digeruni ketika ini.

Di media sosial, peminat tidak henti-henti memuji kecerdikan mereka.

Ada yang menulis: “Salute, bercakap dalam Bahasa Melayu depan pemain China... memang senjata rahsia kita.”

Seorang lagi berseloroh: “Comel bila tengok mereka berbual Melayu, lawan mesti blur.”

Kini, pasangan ranking ketiga dunia itu hanya selangkah lagi menambah koleksi kejuaraan apabila menentang gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh–Supissara Paewsampran di pentas final hari ini. - Sinar Harian





#beregu campuran negara #Bahasa Melayu #Chen Tang Jie-Toh Ee Wei #Masters China