[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla kini di zon berisiko tinggi menuju Gaza. Ikuti perkembangan di sini
SUKAN

Tat Meng tunjuk perkembangan pemulihan lebih baik daripada dijangka

Bernama 01/10/2025 | 09:24 MYT
Tat Meng kini menjalani senaman pemulihan dan sudah boleh duduk di kerusi roda, namun masih memerlukan beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya. - Gambar fail/Stadium Astro
KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih perseorangan negara, Wong Tat Meng menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihannya selepas terlibat dalam kemalangan motosikal di Sydney, Australia, bulan lepas.


Ringkasan AI
  • Wong Tat Meng, bekas jurulatih perseorangan negara, menunjukkan perkembangan positif selepas kemalangan motosikal di Sydney, termasuk mampu berbual dan mula makan makanan dikisar.
  • Beliau kini menjalani senaman pemulihan dan sudah boleh duduk di kerusi roda, namun masih memerlukan beberapa minggu untuk pulih sepenuhnya.
  • Tat Meng pernah melatih Lee Zii Jia sehingga meraih pingat gangsa Olimpik Paris 2024 sebelum berpisah pada Disember lalu.


Berdasarkan kemas kini rasmi kelab badminton Roketto yang berpangkalan di Sydney hari ini, Tat Meng yang berkhidmat selaku pengarah program dan kejurulatihan mereka telah menunjukkan perkembangan lebih baik daripada jangkaan, termasuk mampu berbual dengan jelas bersama pelawat serta pasukan perubatan selain mula makan makanan dikisar.

"Semalam, buat kali pertama beliau diletakkan di atas kerusi roda yang membolehkan beliau menjalani senaman pemulihan dan menikmati udara segar di luar.

"Walaupun masih memerlukan beberapa minggu lagi untuk pemulihan, tahap kesihatan beliau sangat positif dan pemulihannya terus memberikan inspirasi kepada orang sekeliling," menurut kelab berkenaan menerusi hantaran Facebook.

Pada 7 Sept lepas, jurulatih berusia 58 tahun itu dilaporkan terlibat dalam nahas selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah motosikal di Putty Road, Garland Valley.

Selain pasukan kebangsaan, Tat Meng juga pernah membimbing pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia, sehingga berjaya meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum berpisah pada Disember lepas.

-- BERNAMA




#Wong Tat Meng #jurulatih badminton #kemalangan motor #Sydney