SUKAN

Tempat kelima jadi sasaran skuad ragbi 7S lelaki, wanita negara di Hangzhou

Bernama 20/09/2025 | 21:40 MYT
Pasukan rugbi wanita negara pula mengakhiri saingan Kumpulan D di tempat ketiga dengan satu kemenangan ke atas Sri Lanka 24-14 dan dua kekalahan di tangan UAE dan China. - Foto Malaysia Rugby
KUALA LUMPUR: Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki dan wanita kebangsaan masing-masing akan beraksi pada perlawanan klasifikasi tempat kelima hingga kelapan Siri Kejohanan Ragbi Asia Tujuh Sebelah 2025 selepas berakhirnya peringkat kumpulan di Hangzhou, China, pada Sabtu.

Pasukan lelaki negara menamatkan saingan Kumpulan A di kedudukan kedua selepas mencatat dua kemenangan masing-masing ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) 21-15 dan Uzbekistan 21-12 sebelum tunduk kepada Hong Kong 0-59.

Skuad Bunga Raya 7s kendalian Nik Safuan Ismade Nik Man itu dijadualkan membuat perhitungan menentang Taiwan pada pusingan kalah mati hari ini (Ahad).

Sementara itu, pasukan wanita negara mengakhiri saingan Kumpulan D di tempat ketiga dengan satu kemenangan ke atas Sri Lanka 24-14 dan dua kekalahan masing-masing di tangan UAE (7-22) dan China 0-34, sekali gus menyaksikan mereka bakal berdepan cabaran Kazakhstan hari ini.

Sebagai rekod, hanya dua pasukan tercorot akan tersingkir daripada kejohanan dan beraksi pada saingan Trofi Cabaran Asia 7s.

-- BERNAMA



#Ragbi #skuad ragbi tujuh sebelah #skuad Bunga Raya 7s #perlawanan klasifikasi