SUKAN

Ten Hag bakal kembali kendali pasukan EPL

Sinar Harian 05/11/2025 | 01:00 MYT
Erik ten Hag. - Gambar fail/AP
BEKAS pengendali Manchester United, Erik ten Hag dilaporkan menjadi antara calon utama untuk menggantikan Vitor Pereira selaku pengurus baharu Wolverhampton Wanderers.

Menurut laporan The Athletic, Ten Hag kini disenaraikan bersama bekas pengendali Wolves, Gary O’Neil yang turut disebut-sebut bakal kembali ke Molineux selepas meninggalkan kelab itu pada Disember 2024.

Ten Hag kini tanpa pasukan selepas dipecat oleh kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen pada 1 September lalu hanya selepas tiga perlawanan dan 62 hari mengemudi pasukan tersebut.

Bagaimanapun, jurulatih dari Belanda itu berpeluang membuat kemunculan semula dalam saingan Liga Perdana Inggeris bersama pasukan tercorot liga itu.

Wolves bertindak memecat Pereira pada Ahad lalu selepas permulaan musim yang hambar, apabila hanya mengutip dua mata daripada 10 perlawanan pertama liga.

Ten Hag sebelum ini lebih sinonim dengan pasukan berstatus besar dan belum pernah membimbing pasukan yang bergelut di zon penyingkiran. Namun, peluang ini mungkin dilihatnya sebagai ruang untuk menebus reputasi selepas dipecat oleh Manchester United pada Oktober tahun lalu.

Ketika bersama United, Ten Hag berjaya membawa dua trofi domestik ke Old Trafford, namun prestasi buruk dalam saingan liga menyebabkan beliau kehilangan jawatan.

Sementara itu, Wolves yang kini lapan mata di bawah zon selamat, dilihat berdepan cabaran besar untuk mengubah nasib musim ini.

Dalam pada itu, O’Neil dilaporkan telah mengadakan perbincangan positif dengan pengurusan Wolves mengenai kemungkinan kembali mengendalikan kelab tersebut.

Bagaimanapun, langkah itu dianggap berisiko bagi kedua-dua pihak, memandangkan reputasi O’Neil sebelum ini merosot selepas rentetan keputusan buruk yang menyebabkan beliau dipecat.

Bekas pengurus Fenerbahce dan Corinthians, Pereira pula baru menandatangani kontrak tiga tahun bersama Wolves pada September lalu, namun kekalahan 0-3 kepada Fulham pada Sabtu menjadi punca utama pemecatannya. - Sinar Harian




#Erik ten Hag #EPL #Wolverhampton Wanderers #Liga Perdana Inggeris