SPORTS

Ten Hag dari Old Trafford ke BayArena?

Sinar Harian 25/05/2025 | 01:40 MYT
Erik ten Hag mempunyai pengalaman dalam bola sepak Jerman selepas mengendalikan pasukan kedua Bayern Munich selama dua tahun bermula 2013. - Foto Sinar Harian
ERIK ten Hag dilaporkan hampir mencapai persetujuan untuk mengambil alih posisi pengendali di kelab Bundesliga Jerman, Bayer Leverkusen, menggantikan Xabi Alonso.

Ten Hag, yang tidak mempunyai kelab sejak dipecat Manchester United pada Oktober lalu, telah menerima beberapa tawaran namun memilih untuk berehat sehingga musim panas ini.

Awal bulan ini, sumber terdekat Ten Hag memberitahu bahawa bekas pengendali kelab Eredivisie Belanda, Ajax Amsterdam itu bersedia untuk kembali bertugas pada awal Julai akan mempertimbangkan sebarang tawaran yang sesuai.

Alonso, yang dijangka akan menggantikan Carlo Ancelotti sebagai pengendali kelab La Liga Sepanyol, Real Madrid, telah meninggalkan Leverkusen selepas berjaya memimpin kelab itu meraih gelaran Bundesliga pertama pada 2024 dengan rekod tanpa kalah.

Leverkusen berpangkalan di BayArena juga melengkapkan dwi kejuaraan domestik musim lalu, menewaskan Kaiserslautern dalam final Piala Jerman.

Biarpun Leverkusen tidak dapat mengekalkan standard tinggi yang sama musim ini, mereka tetap berjaya menamatkan saingan di tempat kedua seterusnya layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Ten Hag mempunyai pengalaman dalam bola sepak Jerman selepas mengendalikan pasukan kedua Bayern Munich selama dua tahun bermula 2013.

Pengendali berusia 55 tahun itu memenangi Piala FA dan Piala Liga dalam dua musim penuhnya bersama jagoan England berpusat di Old Trafford, selain menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat ketiga musim 2022-23.

Bagaimanapun, biarpun The Red Devils mengekalkan kepercayaannya selepas pertimbangan panjang berikutan kemenangan mengejut di final Piala FA musim lalu menentang Manchester City, beliau telah dipecat pada 28 Oktober selepas kekalahan 1-2 kepada West Ham United. - Sinar Harian





#Erik ten Hag #Bundesliga #Bayer Leverkusen #xabi alonso