Tenis: Jannik Sinner juara Terbuka ABN Amro

Bernama
Februari 19, 2024 03:30 MYT
Sinner menjulang trofi yang dimenangi selepas menjuarai edisi ke-51 kejohanan ATP Terbuka ABN Amro mengalahkan Alex De Minaur di arena Ahoy, Rotterdam, Belanda, 18 Feb 2024. (Foto AP)
THE HAGUE: Pemain tenis Itali, Jannik Sinner memulakan tahun 2024 dengan sempurna apabila memenangi edisi ke-51 kejohanan ATP Terbuka ABN Amro di Rotterdam pada Ahad, menewaskan pemain Australia Alex De Minaur 7-5, 6-4 dalam perlawanan akhir yang mendebarkan, lapor Xinhua.
Selepas memenangi Terbuka Australia, kemenangan Grand Slam pertamanya pada Januari, Sinner, 22, datang ke Rotterdam dengan penuh keyakinan dan menjadi pilihan utama untuk memenangi kejohanan itu.
Dalam aksi separuh akhir pada Sabtu, beliau mengalahkan pemain kegemaran tempatan, Tallon Griekspoor dengan selesa 6-2, 6-4.
Pada aksi final, De Minaur yang menduduki tempat ke-11 dalam ranking dunia ATP, menampilkan aksi cemerlang dengan pada satu ketika berjaya mengikat kedudukan 5-5 pada set pertama.
Bagaimanapun aksi konsisten Sinner berjaya mematahkan percubaan pemain Australia itu sehingga set berikutnya.
Ini merupakan kemenangan ke-15 berturut-turut bagi Sinner, membolehkan kedudukan pemain itu melonjak satu anak tangga ke ranking ketiga dunia pada Isnin.
--BERNAMA-XINHUA
#tenis #Jannik Sinner #Terbuka ABN Amro #Itali