SUKAN

Tenis: Radwanska, Muguruza mara ke pusingan keempat Terbuka Perancis

Astro Arena 28/05/2016 | 06:39 MYT
Radwanska (gambar) bangkit memperkemas aksi untuk menang set penentuan dengan keputusan 6-2. - Foto AFP / MARTIN BUREAU
Pilihan kedua kejohanan Terbuka Perancis, Agnieszka Radwanska berhempas pulas dalam aksi tiga set berdepan Barbora Strycova sebelum memastikan laluan ke pusingan keempat.

Berdepan pilihan ke-30 kejohanan seharusnya bukan masalah besar buat Radwanska apatah lagi selepas berjaya menakluki set pertama dengan keputusan 6-2.

Namun, kebangkitan berjaya dipamer Strycova di set berikutnya apabila berjaya merampas set tersebut selepas penentuan ‘tie break’ yang berakhir dengan keputusan 7-6.

Sedar akan cabaran yang mampu diterjemah Strycova, Radwanska bangkit memperkemas aksi untuk menang set penentuan dengan keputusan 6-2.

Turut mara ke pusingan seterusnya ialah pilihan keempat kejohanan, Garbine Muguruza yang berdepan cabaran pemain bukan pilihan dari Belgium, Yanina Wickmayer.

Jurang kualiti antara kedua-dua pemain ini jelas terpamer dengan Muguruza menang mudah dalam aksi straight sets 6-3, 6-0.

#Agnieszka Radwanska #Garbine Muguruza #Roland Garros #tennis #Terbuka Perancis