Terbuka Artik: Aaron-Wooi Yik tepati ramalan ke pentas akhir

Aaron-Wooi Yik (gambar) semakin hampir memburu gelaran keempat musim ini selepas kejayaan pada Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura. - Gambar fail/Astro ARENA
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila mara ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka Artik 2025 di Vantaa, Finland semalam.
Beregu pilihan utama kejohanan itu menewaskan pasangan pilihan kelapan Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand 21-15 dan 21-14 pada aksi separuh akhir yang berlangsung selama 23 minit di Vantaan Energia Areena.
Menanti pasangan itu di pentas akhir hari ini adalah gandingan England Ben Lane-Sean Vendy yang mara selepas mengecewakan satu lagi pasangan negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dengan keputusan 16-21, 23-25.
Aaron-Wooi Yik kini semakin hampir memburu gelaran keempat musim ini selepas kejayaan pada Kejohanan Badminton Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.Kejayaan Aaron-Wooi Yik mengekori beregu wanita utama negara Pearly Tan-M-Thinaah yang lebih awal menempah tiket ke pusingan akhir.
Pearly-Thinaah yang muncul naib juara pada edisi lepas dijadualkan bertemu gandingan Jepun Rin Iwanaga-Kie Nakanishi di perlawanan akhir hari ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami