Terbuka Australia: Pertembungan akhir antara Djokovic dan Nadal

Astro Awani
Januari 26, 2019 01:03 MYT
Novak Djokovic semasa beraksi menentang Lucas Pouille ketika perlawanan separuh akhir Terbuka Australia di Melbourne, Australia, 25 Jan, 2019. (Foto AP)
Pertembungan di antara Novak Djokovic dan Rafael Nadal dalam Terbuka Australia bagaikan sudah diramal.
Djokovic mara ke pusingan akhir selepas berjaya menewaskan pemain Perancis Lucas Pouille 6-0, 6-2 dan 6-2 dalam perlawanan separuh akhir pada Jumaat.
Jaguh tenis Serbia dan juga pemain nombor satu dunia itu hanya memerlukan 1 jam 23 minit untuk meneruskan misi bertemu Nadal di pusingan akhir.
Perlawanan yang bakal berlangsung pada Ahad itu juga merupakan aksi yang paling dinanti.
Djokovic kini menyasarkan kejuaraan ketujuhnya untuk Terbuka Australia.
Sekiranya misi berjaya, beliau akan mengatasi rekod dipegang Roy Emerson dan Roger Federer.
Nadal, yang juga pemain nombor dua dunia, setakat ini berjaya merangkul 17 Grand Slam berbanding Djokovic dengan 14 Grand Slam.
Sekiranya berjaya di pentas akhir Terbuka Australia, Nadal hanya memerlukan dua lagi gelaran Grand Slam untuk menyamai rekod dipegang Federer dengan 20 Grand Slam setakat ini.
#Grand Slam #Lucas Pouille #Novak Djokovic #Perancis #Rafael Nadal #Serbia #tenis #Terbuka Australia