[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
SUKAN

Terbuka Hong Kong: Aaron-Wooi Yik tamat cabaran di pusingan pertama

Bernama 09/09/2025 | 21:50 MYT
Bulan lepas, Aaron-Wooi Yik turut dikecewakan selepas terkandas di suku akhir Kejohanan Dunia di Paris. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Cabaran beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, di Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong 2025 berakhir seawal pusingan pertama selepas dikejutkan gandingan England, Ben Lane-Sean Vendy, semalam.

Pilihan utama kejohanan itu gagal menampilkan prestasi terbaik apabila tunduk 13-21, 13-21 dalam tempoh hanya 28 minit kepada pasangan ranking ke-15 dunia di Hong Kong Coliseum.

Ia sekali gus menyaksikan pasangan ranking lima dunia itu mengalami kekalahan kedua berturut-turut kepada Lane-Vendy, selepas turut tewas pada Terbuka Artik 2024.

Bulan lepas, Aaron-Wooi Yik turut dikecewakan selepas terkandas di suku akhir Kejohanan Dunia di Paris.

Dalam pada itu, satu lagi beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut mengikut jejak rakan sepasukan apabila tersingkir selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 24-22, 20-22, 17-21.

-- BERNAMA

#Aaron Chia-Soh Wooi Yik #terbuka hong kong #badminton #Ben Lane-Sean Vendy