[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
SUKAN

Terbuka Hong Kong: Wan Arif-Roy King lakar kejutan singkir jaguh Denmark

Bernama 09/09/2025 | 23:05 MYT
Pada pusingan kedua Khamis ini, Wan Arif-Roy King (gambar) akan menentang sama ada Choong Hon Jian-Haikal Nazri atau Kim Gi Jung-Kim Sa Rang, bagi perebutan slot ke suku akhir. - Gambar fail/BERNAMA
KUALALUMPUR: Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menghadirkan kejutan di Terbuka Hong Kong apabila menyingkirkan pilihan ketiga kejohanan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, pada pusingan pertama di Hong Kong Colliseum, semalam.

Pasangan ranking ke-20 dunia itu nyata berada pada prestasi tersendiri apabila menumpaskan gandingan nombor empat dunia berkenaan 21-19, 23-21 dalam aksi straight set yang mengambil masa 42 minit.

Di pusingan kedua pada Khamis ini, Wan Arif-Roy King akan menentang sama ada rakan senegara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri atau beregu veteran Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang, bagi perebutan slot ke suku akhir.

Turut mara ke pusingan kedua ialah naib juara Kejohanan Dunia 2025, Pearly Tan-M. Thinaah, selepas mengatasi cabaran tuan rumah, Chu Wing Chi-Yu Yi Kiu, 21-9, 21-9 dalam tempoh 25 minit.

Pearly-Thinaah akan bertemu sama ada beregu China, Chen Qing Chen-Keng Shu Liang, ataupun Febriana Dwipuji Kusuma-Meilyssa Trias Puspitasari dari Indonesia bagi memburu slot ke suku akhir.



Keputusan lain melibatkan pemain Malaysia:



Man Wei Chong-Tee Kai Wun mn Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-19, 21-12

Goh Pei Kee-Teoh Mei Xing mn Fan Ka Yan-Yau Mau Ying (HKG) 21-15, 17-21, 21-12

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mn Xie Haonan-Zeng Wei Han 21-12, 11-21, 21-19



-- BERNAMA

#Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King #terbuka hong kong #Pearly Tan-M Thinaah #Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen