SUKAN

Terbuka Hylo: Dua beregu lelaki utama negara buka langkah kanan

Bernama 29/10/2025 | 01:10 MYT
Aaron-Wooi Yik (gambar) menewaskan beregu England Alex Green-Zach Russ 25-23, 21-14 untuk menempah pertemuan menentang gandingan Jiri Kral-Ondrej Kral dari Republik Czech. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Dua beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Hylo 2025 selepas menewaskan lawan masing-masing pada aksi pembukaan di Saarbrucken, Jerman, awal pagi tadi.

Pada aksi di Saarlandhalle, Aaron-Wooi Yik yang juga merupakan pilihan utama kejohanan mudah menewaskan beregu England Alex Green-Zach Russ 25-23, 21-14 untuk menempah pertemuan menentang gandingan Jiri Kral-Ondrej Kral dari Republik Czech.

Sementara, Sze Fei-Nur Izzudin turun selaku pilihan kedua kejohanan mengiringi kemaraan itu dengan menundukkan gandingan Alexander Dunn-Adam Pringle dari Scotland 21-17, 22-20.

Gandingan negara itu akan menentang beregu Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard di pusingan kedua.

-- BERNAMA

#Aaron Chia-Soh Wooi Yik #Terbuka Hylo #Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani #England