SUKAN

Terbuka Indonesia: Kebangkitan luar biasa bawa Pearly-Thinaah ke pentas akhir

Khalis Khadir 07/06/2025 | 11:17 MYT
Pearly-Thinaah akan berdepan sama ada satu lagi wakil China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau wakil Korea Selatan, Baek Ha-Na-Lee So-Hee di peringkat akhir pada Ahad. - Foto arkib
KUALA LUMPUR: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan M Thinaah berjaya mara ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2025.

Ini selepas beregu keempat dunia itu menewaskan wakil China, Li Yi Jing dan Luo Xu Min dalam aksi separuh akhir di Istora Senayan, Jakarta pada petang Sabtu.

Pearly dan Thinaah ketinggalan sejak awal set pertama sebelum tewas mudah 12-21.

Dengan semangat lebih cekal, mereka mula menonjolkan aksi luar biasa dalam set kedua untuk mengejar kedudukan dan berjaya meraih kemenangan 21-17.

Pasangan negara itu kemudian kembali menguasai permainan sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan 21-11 dalam pertarungan selama 64 minit.

Kini, mereka berpeluang mencipta sejarah sebagai beregu wanita pertama negara untuk memenangi kejuaraan di Terbuka Indonesia sejak kali terakhir dikecapi oleh Chin Ee Hui-Wong Pei Tty pada 2009.

Pearly-Thinaah akan berdepan sama ada satu lagi wakil China, Liu Sheng Shu-Tan Ning atau wakil Korea Selatan, Baek Ha-Na-Lee So-Hee di peringkat akhir pada Ahad.


#Terbuka Indonesia #Pearly Tan #M Thinaah