SUKAN

Terbuka Indonesia: Pearly-Thinaah bergelar naib juara, hampir robohkan tembok China

Astro Arena 08/06/2025 | 10:06 MYT
Turun sebagai pilihan keempat, Pearly dan Thinaah pada satu ketika jauh ketinggalan 7-14 tetapi sedikit demi sedikit, mereka menyamakan kedudukan 17-17 sebelum memenangi aksi sengit set pertama 25-23.
BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah, bergelar naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia apabila tewas kepada gandingan nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning, di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi.

Turun sebagai pilihan keempat, Pearly dan Thinaah pada satu ketika jauh ketinggalan 7-14 tetapi sedikit demi sedikit, mereka menyamakan kedudukan 17-17 sebelum memenangi aksi sengit set pertama 25-23.

Bagaimanapun, selepas kedudukan terikat 8-8 dalam set kedua, mereka seakan-akan kehilangan rentak untuk akur tewas 12-21.

Gandingan negara itu sekali lagi berada di posisi mengejar pada awal set penentuan tetapi menuju ke pertengahan, mereka mula menyamakan mata 14-14.

Kedudukan kian genting ketika kedua-dua beregu terikat 19-19 tetapi dua kesilapan daripada Pearly menyaksikan gandingan negara itu terpaksa akur dengan kekalahan 19-21 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam dan 27 minit. - Stadium Astro



#Terbuka Indonesia #Pearly Tan #M Thinaah #keputusan perlawanan