SUKAN

Terbuka Korea: Soon Huat-Shevon mudah ke suku akhir atasi beregu China

Astro Arena 25/09/2025 | 02:35 MYT
Soon Huat dan Shevon (gambar) seterusnya akan menantikan pemenang di antara Yuta Watanabe-Maya Taguchi dan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, bagi penentuan ke separuh akhir esok. - Foto Astro ARENA
BEREGU campuran senior negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea apabila mudah mengatasi gandingan tidak ternama dari China, Gao Jia Xuan-Wi Meng Yin, di Suwon Gymnasium sebentar tadi.

Turun sebagai pilihan kelima, pasangan suami-isteri itu pada awalnya diberikan tentangan tetapi menuju ke pertengahan set pertama, mereka mula menguasai permainan sebelum mudah mencatatkan kemenangan 21-16.

Penguasaan lebih baik dipamerkan mereka dalam set kedua, di mana Soon Huat dan Shevon tidak pernah ketinggalan sebaik meraih mata pertama, sebelum menamatkan saingan dengan kemenangan 21-13 selepas secara keseluruhan bertarung selama 31 minit.

Mereka seterusnya akan menantikan pemenang di antara beregu Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi, dan gandingan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, bagi penentuan ke separuh akhir esok.








#badminton #Goh Soon Huat-Shevon Lai #badminton Terbuka Korea Selatan #China