Terbuka Madrid: Cameron Norrie tersingkir di tangan Zhang Zhizhen

Astro Arena
Mei 2, 2023 01:45 MYT
Pemain China Zhizhen Zhang ketika beraksi menentang pemain Itali Andreas Seppi. - Foto REUTERS
CAMERON Norrie tersingkir daripada Kejohanan Tenis Terbuka Madrid walaupun tidak berdepan sebarang mata break menentang pemain China, Zhang Zhizhen, yang bangkit daripada ketinggalan satu set untuk melangkah ke pusingan keempat awal pagi tadi.
Pemain nombor satu Britain, yang juga pemain pilihan ke-11 kejohanan di ibu kota Sepanyol itu, kelihatan akan mudah meneruskan kemaraan selepas memenangi empat game berturut-turut untuk mengungguli set pertama 6-2 dan aksi dalam set kedua juga pada awalnya kelihatan memihaknya.
Bagaimanapun, pemin kidal itu melepaskan lima peluang mata break dan lawannya, yang berada di ranking ke-99 dunia, bangkit untuk mencatatkan kemenangan 2-6, 7-6, 7-6 selepas bertarung selama dua jam dan sembilan minit.
Zhang seterusnya akan berdepan pemain pilihan kelapan, Taylor Fritz, dalam penampilan pusingan 16 pertamanya bagi kejohanan kategori Masters 1000. - Stadium Astro
#Terbuka Madrid #Cameron Norrie #Zhang Zhizhen #Taylor Fritz