Terbuka Malaysia 2026: Meskipun sakit, Soon Huat-Shevon bangkit cipta kemenangan

Aksi Soon Huat-Shevon ketika menentang Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Stadium Axiata Arena, Kuala Lumpur, 7 Jan 2026. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Meskipun diuji dengan kesakitan dan tidak cukup tidur, mereka masih mampu mencipta kebangkitan luar biasa.
Ringkasan AI
- Beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menunjukkan semangat juang tinggi dengan menewaskan gandingan Taiwan dalam Terbuka Malaysia 2026.
- Pasangan tersebut bangkit daripada kekalahan set pertama dan menyesuaikan strategi permainan sepanjang perlawanan, walaupun Shevon mengalami keracunan makanan sebelum perlawanan.
- Sokongan penonton di gelanggang sendiri memberi semangat kepada pasangan itu, yang bakal berdepan dengan gandingan Amerika Syarikat pada pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026.
Soon Huat mengakui perlawanan itu begitu sengit dan beliau serta isterinya, Shevon, tidak berada pada tahap terbaik sekali gus memaksa mereka menyesuaikan strategi permainan sepanjang perlawanan tersebut.
"Daripada set pertama, kami masih mencari rentak sebab ini pasangan baharu dari Taiwan, jadi tidak dapat baca permainan mereka.
"Walaupun kalah set pertama namun kami perlu cari taktik baharu dan melindungi rakan sepasukan untuk dua set berikutnya," katanyan kepada pemberita dalam temu bual selepas perlawanan di zon campuran di sini.
Soon Huat kemudian mendedahkan bahawa Shevon telah mengalami keracunan makanan pada malam sebelum perlawanan.
Pemain berusia 35 tahun itu berkata situasi menjadi lebih rumit akibat kekurangan waktu rehat kerana beliau terpaksa berjaga untuk menjaga pasangannya.
"Shevon muntah tengah malam tadi, saya pula jaga dia semalaman dan tidak cukup tidur... jadi, hari ini kedua-dua kami agak letih," katanya.
Beliau juga mengakui sokongan padu daripada penonton di gelanggang sendiri, yang bersorak memberi semangat sepanjang kebangkitan mereka ketika menentang pasangan bukan pilihan dari Taiwan itu.
Kemenangan itu menyaksikan pasangan nombor sembilan dunia itu bakal berdepan gandingan Amerika Syarikat Presley Smith-Jennie Gai, yang menewaskan pasangan India iaitu Dhruv Kapila-Tanisha Crasto 21-15, 18-21, 21-15, pada pusingan kedua.
Terbuka Malaysia 2026 akan berlangsung hingga 11 Jan ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


