Cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki Terbuka Malaysia berakhir seawal pusingan pertama selepas Lee Zii Jia tewas kepada pemain Thailand dalam pertarungan selama 65 minit di Arena Axiata, Bukit Jalil, di sini, pada Rabu.

Sandaran kepada Zii Jia untuk memenuhi harapan peminat, dengan ketiadaan jaguh negara Datuk Lee Chong Wei, musnah apabila kalah kepada pemain ranking ke-33 dunia, Suppanyu Avihingsanon 21-17, 19-21, 21-15.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Zii Jia, yang menghuni ranking ke-23 dunia, mengakui faktor keyakinan melampau menjadi punca kegagalannya beraksi dengan baik terutama di set penentuan.

"Selepas undian keluar ramai cakap lawan saya ini senang jadi ia sedikit sebanyak membuatkan saya turun beraksi hari ini dengan keyakinan yang tinggi. Mungkin saya tewas kerana terlalu yakin.

"Saya minta maaf kepada semua penyokong tetapi menang atau kalah adalah perkara biasa bagi seseorang pemain muda seperti saya. Saya harap ini menjadi pengajaran berguna kepada saya sebelum menghadapi Terbuka Singapura minggu depan," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek menyifatkan Zee Jia kini semakin hampir setanding dengan barisan jaguh dunia.

Meskipun tewas kepada lawan di ranking lebih rendah, Misbun tetap berpuas hati dengan permainan ditampilkan anak buahnya itu, namun mengakui Zee Jia berpotensi memenangi perlawanan tersebut sekiranya berjaya mengawal emosi.

"Memang kita harapkan begitu lah (menang), tetapi apabila seseorang pemain yang sedang cuba menapak masuk ke peringkat elit ini lah risiko dia. Kestabilan dari segi perasaan dan mental itu penting.

"Secara keseluruhan beliau (Zee Jia) bermain dengan bagus tetapi ada sedikit masalah di pertengahan yang menjadi kesilapan sehingga membolehkan pihak lawan mengambil kesempatan.

"Apa yang dia harus ambil iktibar di peringkat seperti ini adalah menggunakan segala diajar dalam latihan untuk adapatasikan beberapa jenis permainan ketika berdepan lawan," katanya.

Terdahulu, pemain profesional negara, Chong Wei Feng, turut gagal mara ke pusingan kedua apabila gagal menyaingi kehebatan pencabar dari Jepun, Kanta Tsuneyama yang menyaksikan beliau tewas 21-12, 21-12 dalam tempoh 35 minit.

-- BERNAMA