KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia tewas mengejut kepada pemain Singapura, Loh Kean Yew, dalam aksi pembukaan Terbuka Perancis, sebentar tadi.

Kean Yew, yang menduduki ranking ke-40 dunia, menewaskan juara All England itu 24-22, 21-14 untuk mara ke pusingan seterusnya.

Pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini memenangi acara perseorangan di Terbuka Belanda awal bulan ini.

Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki juga berakhir selepas Liew Daren turut tewas kepada pemain Jepun, Kante Tsuneyama.

Sementara itu dalam acara beregu campuran, Tan Kian Meng - Lai Pei Jing menang 21-18, 21-15 menentang beregu Denmark Jeppe Bay - Sara Lundgaard dan bakal bertemu Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dari Thailand.

Perlawanan lain menyaksikan Chen Tang Jie - Peck Yen Wei mempamerkan aksi membanggakan menentang pilihan kedua dari Indonesia, Praveen Jordan - Melati Oktavianti sebelum tunduk 20-22, 19-21.

Dalam beregu wanita, gandingan baharu Lee Meng Yean - Yap Cheng Wen menewaskan pemain Ukraine, Mariia Stoliarenko - Yelyzaveta Zharka 21-12, 21-17.

Turut mara ke pusingan kedua ialah Pearly Tan - M. Thinaah, yang menewaskan pasangan Britain, Jessica Hopton - Jessica Pugh 23-21, 21-10.