SERENA Williams berkata servisnya merupakan kunci utama ketika mengatasi Mihaela Buzarnescu 6-3, 5-7, 6-1 dalam pusingan kedua Kejohanan Tenis Terbuka Perancis awal pagi tadi.

Kemenangan itu melebarkan rekod Williams dalam pusingan kedua kejohanan grand slam kepada 74-2.

Kekalahannya di peringkat itu hanya kepada kakaknya, Venus Williams, ketika penyertaan pertamanya dalam Terbuka Australia 1998 dan satu lagi kepada Garbina Muguruza di Roland Garros tujuh tahun lalu.

Serena memperoleh 75 peratus mata keseluruhannya daripada servis pertamanya dan menyelamatkan lima daripada tujuh mata break yang dihadapinya di ibu kota Perancis itu.

"Saya rasa ia agak baik hari ini," kata Williams mengenai servisnya.

"Tetapi saya telah banyak berlatih melakukan servis. Saya bermain dengan amat luar biasa ketika melakukan servis dalam latihan, malam sebelumnya. Saya agak gembira ia menjadi lebih baik hari ini.

"Jurulatih memberitahu saya adalah bagus untuk saya melakukannya dengan baik dalam latihan kerana secara tidak langsung ia juga akan menjadi lebih baik dalam perlawanan.

"Saya memiliki peluang yang baik untuk memenangi set kedua. Jika saya dapat memenangi beberapa mata yang terlepas, empat atau lima kali, ia pasti menjadi set kedua yang berbeza.

"Saya sedar ketika menuju ke set ketiga, saya langsung tidak mendapatkan mata penting. Jika saya dapat mata seperti itu, ia pasti menjadi lebih mudah," katanya.


Pemain berusia 39 tahun itu akan meneruskan misi memburu gelaran keempat di Roland Garros dan menyamai rekod 24 kejuaraan grand slam dengan berdepan rakan senegara dari Amerika Syarikat (AS), Danialle Collins, yang menewaskan pemain Ukraine daripada pusingan kelayakan, Anhelina Kalinina, 6-0, 6-2.