SUKAN

Terbuka AS: Sivasangari tersingkir pada pusingan kedua

Bernama 21/10/2025 | 01:30 MYT
Sivasangari tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2025 yang berlangsung di Philadelphia pada Isnin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemain wanita negara, S. Sivasangari tersingkir pada pusingan kedua Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2025 yang berlangsung di Philadelphia pada Isnin.

Pilihan ketujuh kejohanan itu dikejutkan dengan kekalahan kepada pemain ranking ke-18 dunia dari Mesir Sana Ibrahim 11-13, 12-10, 9-11, 10-12 di Arlen Specter Squash Center.

Kekalahan itu menutup kempen wakil negara pada kejohanan Persatuan Skuasy Profesional (PSA) bertaraf platinum selepas Rachel Arnold dan Aifa Azman tersingkir pada pusingan pertama.

Semalam, Sivasangari meneruskan momentum cemerlang di pentas antarabangsa apabila naik dua anak tangga untuk menduduki tangga keenam dunia, kedudukan tertingginya dalam ranking terkini PSA.

Pemain berusia 26 tahun dari Kedah itu melonjak ke posisi berprestij berkenaan susulan aksi cemerlang muncul naib juara Kejohanan Terbuka Silicon Valley, kejohanan bertaraf Gold yang berlangsung di Redwood City, California minggu lepas.

-- BERNAMA


#Terbuka AS #Kejohanan Skuasy Terbuka Amerika Syarikat #Sivasangari #Arlen Specter Squash Center