Terima 10 kad merah, 8 kad kuning, pemain Brazil tinggalkan perlawanan

Israr Khalid
Februari 19, 2018 23:59 MYT
Perlawanan antara dua kelab Brazil ini terpaksa ditamatkan lebih awal 11 minit selepas pemain meninggalkan padang. - Gambar Twitter @ECBahia
SEPULUH kad merah dan lapan kad kuning.
Jangan terkejut kerana ini benar-benar berlaku di Brazil, dalam kejohanan peringkat negeri Bahia ketika perlawanan antara dua pasukan berpangkalan di Salvador, iaitu Vitória dan Bahia.
Ketegangan bermula sejak awal dan berlarutan sepanjang babak pertama, menyaksikan Vitória membuka tirai jaringan menerusi penalti oleh Denílson Pereira Júnior pada minit ke-34 namun dicemari layangan enam kad kuning.
Dan keadaan bertambah parah di separuh masa kedua.
Bahia pula dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-50, dan kekecohan tercetus apabila Vinícius Goes Barbosa de Souza menari meraikan jaringannya di hadapan penonton tuan rumah di Stadium Barradão.
Lantas, berlaku pertembungan, pergelutan, tumbuk-menumbuk, sepak-menyepak antara pemain kedua-dua kelab menyebabkan perlawanan tertangguh selama 16 minit sehingga kacau-bilau mereda, dan lapan lagi pemain dibuang padang.
Tiga kad merah dilayangkan kepada pemain Vitória, lima kepada pemain Bahia, dengan Vinícius serta tiga pemain simpanan antara yang terlibat.
Ketika permainan berbaki 11 minit, berlaku lagi kekecohan yang menyaksikan dua lagi pemain Vitória ditunjuk jalan keluar oleh pengadil sehingga akhirnya seluruh pasukan tuan rumah meninggalkan perlawanan, dan kemenangan automatik 3-0 diberikan kepada Bahia.
#Bahia #bola sepak #Brazil #gaduh #kad kuning #kad merah #Vitoria