SUKAN

[TERKINI] FIFA dedah pegawai FAM terlibat palsukan dokumen pemain warisan

Azyyati Ahmad 18/11/2025 | 04:27 MYT
FIFA mendapati pemalsuan sijil kelahiran ini telah memberikan Malaysia keuntungan sukan yang tidak wajar, kerana pemain yang tidak layak telah beraksi dalam pertandingan rasmi.
KUALA LUMPUR: Persekutuan Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hari ini menerbitkan dokumen alasan penuh berhubung keputusan Jawatankuasa Rayuan terhadap kes pemain warisan Malaysia, yang mendedahkan pegawai pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikenal pasti sebagai pihak yang mengubah dan memalsukan dokumen kelahiran tujuh pemain terbabit.

Ia merupakan satu pengakuan yang direkodkan sendiri dalam prosiding badan induk itu.

Dalam alasan bertulis setebal lebih 60 muka surat itu, FIFA mendedahkan, FAM telah mengakui bahawa salinan sijil kelahiran yang dihantar ke FIFA adalah dokumen yang dipalsukan termasuk perubahan pada lokasi kelahiran datuk dan nenek pemain untuk mewujudkan hubungan keturunan dengan Malaysia.

Rekod kelahiran sebenar yang diperoleh FIFA daripada Argentina, Brazil, Sepanyol dan Belanda membuktikan bahawa datuk dan nenek setiap pemain sebenarnya lahir di negara asal masing-masing.

Bagaimanapun, dalam dokumen yang dikemukakan FAM, lokasi kelahiran mereka telah ditukar kepada tempat di Malaysia seperti “Malacca Straits Settlements”, “George Town Straits Settlements” dan “Johore”, yang bercanggah sepenuhnya dengan rekod rasmi luar negara.

Dalam dokumen itu, FIFA menyifatkan tindakan berkenaan sebagai satu bentuk penipuan terancang yang memberikan Malaysia “undue sporting gain” atau keuntungan sukan yang tidak wajar, apabila pemain yang tidak layak diturunkan dalam perlawanan rasmi termasuk Kelayakan Piala Asia 2027.

“FIFA mendapati pemalsuan sijil kelahiran ini telah memberikan Malaysia keuntungan sukan yang tidak wajar, kerana pemain yang tidak layak telah beraksi dalam pertandingan rasmi,” kata FIFA dalam dokumen alasan itu.

Sehubungan itu, FIFA menegaskan, integriti pertandingan antarabangsa terjejas akibat tindakan tersebut.

Jawatankuasa Rayuan turut menyalahkan para pemain kerana menyerahkan dokumen tanpa menyemak kesahihan rekod keluarga mereka sendiri, menyifatkannya sebagai kelalaian serius (gross negligence).

“Kegagalan pemain menyemak dokumen mereka sendiri adalah satu bentuk kelalaian serius (gross negligence),” kata FIFA

Dalam masa sama, FIFA juga menolak hujah pemain bahawa mereka tidak mengetahui proses manipulasi dokumen dengan menyatakan tindakan menukar naratif dan menyalahkan FAM merupakan satu strategi mengubah versi pembelaan mereka apabila kes sudah berjalan yang sekaligus melemahkan kredibiliti mereka.

Dalam prosiding sama, FIFA merekodkan, FAM mengakui terdapat pegawai pentadbiran yang terlibat dalam “mengurus, menyunting dan mengubah” salinan sijil lahir pemain sebelum dihantar ke FIFA, menjadikan FAM sebagai pusat manipulasi dokumen tersebut.

FIFA menyatakan bahawa salah satu sijil lahir yang dihantar FAM adalah “forged as confessed by the FAM”, iaitu dipalsukan seperti yang diakui sendiri oleh FAM.

Berdasarkan penemuan itu, Jawatankuasa Rayuan mengekalkan sepenuhnya hukuman asal, iaitu denda CHF350,000 (RM1.8 juta) terhadap FAM, penggantungan 12 bulan untuk setiap pemain yang terlibat dan denda CHF2,000 (RM10,411) kepada setiap pemain.

FIFA menegaskan, pemalsuan dokumen kelahiran untuk tujuan kelayakan pemain merupakan serangan terhadap integriti bola sepak, sambil memberi amaran tindakan lebih keras boleh menyusul jika kes seumpama berulang.

FAM sebelum ini memaklumkan, akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

#FIFA #FAM #pemain warisan #dokumen palsu