SUKAN
[TERKINI] Sri Pahang sah tarik diri, hanya 13 pasukan rebut trofi Liga Super 2025/26
Malaysian Football League hari ini mengumumkan sebanyak 13 kelab telah mengesahkan penyertaan untuk bertanding dalam musim baharu Liga Malaysia 2025-2026 yang bakal bermula pada 8 Ogos ini.
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan sebanyak 13 pasukan yang sudah menerima Lesen Kebangsaan 2025/26 oleh badan bebas First Instance Body (FIB) dan akan bertanding dalam musim baru Liga Super 2025/26 yang akan membuka tirai pada 8 Ogos 2025.
Dalam pada itu, Sri Pahang pula mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan meskipun sudah menerima Lesen Kebangsaan.
"Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan sebanyak 13 kelab telah mengesahkan penyertaan untuk bertanding dalam musim baharu Liga Malaysia 2025-2026 yang bakal bermula pada 8 Ogos ini.
"Senarai kelab yang akan beraksi merebut kejuaraan kali ini adalah Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuala Lumpur City FC, PDRM FC dan DPMM FC serta dua kelab daripada AFL A1 iaitu Melaka FC dan Imigresen FC.
"Kesemua kelab ini telah diberikan Lesen Kebangsaan 2025-2026 oleh badan bebas First Instance Body (FIB) dengan kelab dari Brunei, DPMM FC diberikan kelulusan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) untuk bertanding dalam Liga Malaysia 2025-2026.
"Bagaimanapun Sri Pahang FC yang turut mendapat Lesen Kebangsaan 2025-2026 membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Liga Malaysia musim ini dengan mengemukakan surat pengesahan bertarikh 16 Jun 2025.
"Dengan pengesahan 13 kelab ini, MFL menjangkakan satu lagi musim baharu yang menarik bakal disajikan buat penyokong tanah air apatah lagi dengan kemunculan semula DPMM FC dalam kancah bola sepak tempatan selain cabaran dari dua kelab AFL A1, Melaka FC dan Imigresen FC.
"Kalendar Liga Malaysia musim ini akan bermula dengan pertembungan juara Liga Super JDT dengan naib juara Liga Super Selangor dalam aksi Sumbangsih pada 8 Ogos 2025 yang juga perlawanan pembuka tirai liga di Stadium Sultan Ibrahim.
"Manakala kejohanan Piala FA pula akan bermula pada pertengahan Ogos ini, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup pada Januari 2025.
"Saingan Liga Malaysia 2025 dijangka berlangsung selama 10 bulan selepas selesai proses transisi musim lalu yang menyaksikan kelab-kelab mengharungi tempoh musim panjang selama 14 bulan bagi menyelaras kalendar Liga Malaysia selari dengan liga-liga utama luar negara.
"MFL bakal mengeluarkan jadual Liga Malaysia 2025-2026 dalam masa terdekat ini di mana MFL berdepan kekangan untuk melengkapkan jadual penuh semusim memandangkan AFC hanya akan mengadakan undian pertandingan ACL Elite dan ACL 2 melibatkan JDT dan Selangor FC pada 15 Ogos 2025.
"Manakala MFL masih menunggu tarikh terperinci Kejohanan Kelab Asean daripada AFF yang turut melibatkan penyertaan JDT dan Selangor FC." katanya.