"Terlalu hormat" JDT punca TFC dibelasah lima gol

Pemain JDT) ergson Da Silva cuba melakukan percubaan gol semasa menentang pasukan TFC pada aksi Liga Super 2025-2026 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. - Foto BERNAMA
KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali berkata sikap terlalu menghormati Johor Darul Ta'zim (JDT) punca pasukan itu tewas 0-5 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.
Badrul Afzan turut mengakui kecewa dengan prestasi hambar pemain yang juga banyak melakukan kesilapan mudah sehingga menyebabkan skuad Penyu kalah dengan jaringan besar di laman sendiri.
"Sebelum perlawanan, saya sudah berpesan supaya tidak melakukan kesilapan mudah apabila berdepan JDT kerana ia boleh mengundang padah.
"(Bagaimanapun) ia berlaku terlalu cepat dan pemain seperti hilang fokus serta tidak tersusun pada separuh masa pertama dan kedua," katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, skuad kendalian Xisco Munoz membenam TFC 5-0 menerusi jaringan Bergson Da Silva yang membuka jaringan seawal minit keempat, Romel Morales minit ke-30 dan hatrik penyerang import Jairo Da Silva pada minit ke-63, ke-70 dan ke-76.
Susulan kekalahan itu, Badrul Afzan berkata sedia menerima sebarang tindakan atau keputusan daripada pihak pengurusan TFC.
Pengendali berusia 49 tahun itu berkata mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan itu dan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menentukan kedudukannya dalam pasukan berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


