SUKAN

Tiada garisan 'penamat' buat Hoe Yean

Bernama 26/07/2025 | 02:40 MYT
Destinasi Hoe Yean seterusnya ialah Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura yang akan bermula esok dan bakal beraksi dalam acara 100m, 200m, 400m, 800m gaya bebas dan 4x200m gaya bebas. - Foto BERNAMA
SEPANG: Bagi kebanyakan atlet, memecahkan rekod kebangsaan ialah satu pencapaian besar dalam kerjaya mereka, namun Khiew Hoe Yean melihat perkara itu sebagai satu langkah ke arah mencapai tahap bertaraf dunia.

Dengan memiliki lebih 10 rekod kebangsaan, perenang negara itu tidak mengukur kejayaan berdasarkan angka, sebaliknya memberikan fokus kepada perkembangan konsisten dan berterusan dalam setiap kejohanan.

"Saya hanya mahu menjadi seseorang yang lebih baik setiap hari. Tidak menetapkan had ialah sesuatu yang baik, tetapi saya masih mengejar tahap kelas dunia, sedikit sahaja lagi menghampiri impian itu selepas memecahkan rekod baharu ini.

"Berapa kali saya memecahkan rekod? Saya tidak pasti. Mungkin lebih 10, tetapi kurang daripada 20," katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini malam tadi, bersama pasukan renang kebangsaan daripada temasya Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Jerman.

Pada temasya itu, Hoe Yean mencipta sejarah apabila memenangi pingat perak dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki dengan memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri, iaitu 3 minit 48.36 saat dengan mencatat 3:47.38s, sekali gus menghadiahkan pingat pertama Malaysia dalam edisi sukan itu kali ini.

Pencapaian Hoe Yean itu juga menamatkan kemarau pingat negara selepas 34 tahun dalam acara renang pada WUG, yang kali terakhir diraih Jeffrey Ong menerusi pingat perak dalam acara 1,500m gaya bebas pada edisi 1991 di Sheffield.

Hoe Yean turut membantu kuartet Malaysia, bersama-sama Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin mencatat 7 minit 19.66 saat untuk menamatkan saingan pada tempat keenam dalam acara akhir.

Meskipun tidak meraih pingat, pasukan itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki.

Destinasi Hoe Yean seterusnya ialah Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura yang akan bermula esok dan bakal beraksi dalam acara 100m, 200m, 400m, 800m gaya bebas dan 4x200m gaya bebas.

Dalam pada itu, beliau turut menyasarkan kejayaan pada Sukan SEA Thailand 2025 Disember ini dengan impian membawa pulang lebih banyak pingat emas.

"Mungkin saya akan disenarai pendek, jadi saya harapkan yang terbaik dan mendapat banyak pingat pada Sukan SEA nanti," katanya.

-- BERNAMA

#Khiew Hoe Yean #perenang negara #Kejohanan Akuatik Dunia 2025 #WUG 2025