KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan tidak berkompromi dengan mana-mana atlet yang terlibat dengan salah laku disiplin, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Wan Roslan Wan Hamat.

Beliau berkata dalam pembangunan sukan di negeri itu, pelbagai perkara telah dititikberatkan terutama dalam aspek pematuhan syariah, disiplin dan sebagainya.

"Dalam membuat sesuatu perkara, kita sentiasa berhadapan dengan ujian, kita harap semua atlet dapat mematuhi pematuhan syariah yang sepatutnya.

"Namun, usaha yang dilakukan ini ada juga atlet melanggar peraturan yang ditetapkan dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya jika didapati bersalah sama ada buang daripada pasukan atau sebaliknya," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Negeri di Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai penahanan seorang pemain bola sepak liga tempatan kerana didakwa merogol seorang remaja perempuan, di sini Ahad lepas.

Wan Roslan berkata pihaknya telah menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan pengurusan bola sepak terbabit untuk tindakan selanjutnya.

"Saya pun tidak dapat maklumat secara rasmi lagi, cuma saya minta pihak pengurusan buat siasatan dan cadangkan tindakan perlu diambil kepada pemain yang melanggar disiplin ditetapkan pihak pengurusan," katanya yang terkilan dengan sikap pemain terbabit sekiranya didapati melakukan kesalahan itu.

Semalam, Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun memaklumkan pihaknya telah menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan dekat Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, selepas mangsa berusia 18 tahun membuat laporan polis.

-- BERNAMA