Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
SUKAN

Tiada lagi aksi 2025, Zii Jia tumpu kembali ke gelanggang tahun depan

Bernama 18/11/2025 | 13:15 MYT
Dalam hantaran di Instagram, Zii Jia yang telah berehat sejak September mengimbas kembali liku-liku sepanjang tahun ini terutamanya pengalaman dalam menguruskan aspek kesihatan dan fizikal. - Gambar fail/Stadium ASTRO
KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia mengumumkan perjalanan keriernya bagi musim 2025 telah berakhir dengan tumpuan kini diberikan kepada proses pemulihan dan persediaan bagi menghadapi kejohanan pada tahun depan.


Ringkasan AI
  • Lee Zii Jia mengumumkan pengakhirannya bagi musim 2025, fokus pada pemulihan dan persediaan menghadapi kejohanan tahun depan selepas rehat sejak September.
  • Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 menghadapi cabaran kesihatan termasuk kecederaan buku lali dan sakit belakang sejak perlawanan di China Masters 2025.
  • Meskipun mengalami cabaran, Zii Jia menjalani program pemulihan jangka panjang, namun terpaksa melepaskan beberapa kejohanan termasuk Terbuka Australia 2025, tetapi menemui minat baharu dalam seni.


Dalam hantaran di Instagram, Zii Jia yang telah berehat sejak September mengimbas kembali liku-liku sepanjang tahun ini terutamanya pengalaman dalam menguruskan aspek kesihatan dan fizikal.

"Ada hari-hari yang saya rasa seperti berada di puncak dunia dan ada kalanya saya sangat merasai kesan daripada kecederaan buku lali dan sakit belakang yang masih mengganggu.

"Sejak perlawanan terakhir di China Masters pada September, pasukan dan saya telah bekerja rapat dengan pakar perubatan untuk mencari jalan terbaik bagi memastikan saya dapat kembali bertanding dengan kemampuan terbaik," katanya hari ini.

Pada China Masters 2025, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu terpaksa menarik diri pada set ketiga perlawanan pusingan pertama menentang pemain Taiwan Lin Chun-Yi ketika ketinggalan 6-14.

Pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini menang pada set pertama dengan 21-17 sebelum tewas tipis pada set kedua 21-23.

Pada 1 Okt, Team LZJ memaklumkan di Instagram bahawa Zii Jia telah dinasihatkan oleh pakar perubatan supaya menjalani program pemulihan jangka panjang bagi menangani masalah sakit belakang yang berterusan.

Kecederaannya itu menyebabkan beliau terlepas beberapa kejohanan termasuk mempertahankan kejuaraan di Terbuka Australia 2025, minggu lalu.

Walaupun berdepan masalah berkenaan, pemain kelahiran Kedah itu mengakui bahawa beliau telah menemui minat baharu dalam bidang seni.

"Ucapan terima kasih saya kepada banyak pihak, keluarga, rakan-rakan, pasukan saya, penaja yang sentiasa menyokong sejak hari pertama dan sudah tentu para peminat," katanya.

Sehubungan itu, bekas juara All England 2021 itu berkata beliau kekal bersemangat untuk kembali ke gelanggang tahun depan.

-- BERNAMA


#Sukan Olimpik Paris 2024 #Instagram #pakar perubatan #aspek kesihatan