SPORTS
Tiada lagi wakil Malaysia di Terbuka Swiss 2025

Kempen Malaysia di badminton Terbuka Swiss 2025 tamat pada Jumaat, selepas wakil terakhir negara iaitu pasangan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, terkeluar pada peringkat suku akhir. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Kempen Malaysia di badminton Terbuka Swiss 2025 tamat pada Jumaat, selepas wakil terakhir negara iaitu pasangan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, terkeluar pada peringkat suku akhir.
Pasangan pilihan utama kejohanan itu gagal memberikan yang terbaik, kalah dalam dua set kepada pasangan pilihan kelapan dari Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada kejohanan Super 300 berlangsung di St. Jakobshalle, Basel.
Pasangan ke-13 dunia itu hanya memerlukan 34 minit untuk menewaskan Soon Huat-Shevon, 21-18, 21-10.
Dengan kemenangan ini, pasangan Dechapol-Supissara telah menang tiga daripada lima perlawanan mereka sejak kali pertama bertemu pada Terbuka Artik 2024 di Finland.Dechapol-Supissara akan bertemu Feng Yan Zhe-Wei Ya Xin hari ini pada peringkat separuh akhir selepas pasangan pilihan kelima kejohanan dari China itu mengalahkan pasangan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue 21-18, 21-16.
Terbuka Swiss menawarkan hadiah keseluruhan AS$250,000 (kira-kira RM1.11 juta).
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami