KUALA LUMPUR: Tiada salahnya kerajaan memberikan peruntukan RM5 juta kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan prestasi Harimau Malaya di Piala Asia 2023, lebih-lebih lagi kejayaan mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan, 3-3, pada aksi terakhir Kumpulan E, menurut pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli.

Biarpun peruntukan tersebut dilihat tidak segah dengan pencapaian Harimau Malaya yang pulang awal selepas tersingkir di peringkat kumpulan, Pekan secara peribadi berpandangan pemberian dana tersebut sebagai langkah yang wajar dilaksanakan kerajaan bagi membantu FAM menampung semula perbelanjaan besar dikeluarkan untuk skuad kebangsaan bersaing di Doha.

"Peruntukan dana RM5 juta ini lebih kepada suntikan semangat buat FAM kerana tak ada salahnya kerajaan nak bantu perbelanjaan persatuan-persatuan sukan yang telah beri komitmen tinggi kepada negara kita Malaysia.

"Sebab bola sepak tak ada yang murah, kosnya sangat tinggi. Kita tak boleh banding perbelanjaan kita keluarkan dengan kejayaan bakal kita peroleh kerana memang tak sepadan, walaupun kita belanja berjuta-juta tapi bila kita kalah, orang akan cakap ini satu pembaziran.

"Namun bagi saya ini bukan pembaziran kerana bola sepak merupakan sukan nombor satu bukan sahaja di negara kita tetapi juga di dunia," katanya kepada Bernama.

Walaupun FAM mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM7 juta bagi menampung perbelanjaan skuad Harimau Malaya menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar, namun Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ia tetap rendah jika dibandingkan dengan peruntukan dikeluarkan negara lain dalam Kumpulan E seperti Korea Selatan (RM94 juta), Bahrain (RM28.2 juta) dan Jordan (RM23.5 juta).

Kejayaan sensasi mengikat Korea Selatan pada Khamis, tidak cukup untuk Harimau Malaya mencatat sejarah mara ke pusingan 16 terbaik pada Piala Asia 2023 selepas tewas dalam dua aksi terdahulu menentang Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1), sekali gus menamatkan saingan Kumpulan E di tempat tercorot dengan satu mata.

Dalam pada itu, Pekan berharap dana tersebut dapat digunakan sebaiknya oleh FAM bagi meningkatkan prestasi lebih cemerlang dalam kalangan barisan pemain kebangsaan menghadapi baki perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

"Mungkin juga FAM boleh mengadakan lebih banyak perlawanan yang lebih kompetitif untuk pasukan kebangsaan kita, selain usahakan beri pendedahan latihan menerusi penempatan pemain tertentu di luar negara," katanya.

Skuad kendalian Kim Pan Gon akan meneruskan cabaran mereka dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Oman di tempat lawan pada 21 Mac ini dan menjadi tuan rumah kepada pasukan tersebut pada 26 Mac, diikuti Kyrgyzstan di tempat lawan (6 Jun) sebelum menjadi tuan rumah kepada Taiwan (11 Jun).

Malaysia kini berada dalam landasan tepat untuk layak buat kali pertama ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia selepas mereka mendahului saingan Kumpulan D dengan enam mata menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Taiwan 1-0, November lepas.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM5 juta kepada FAM bagi mengurus serta meningkatkan keupayaan skuad bola sepak kebangsaan.

-- BERNAMA