SUKAN

Tiada siapa lebih terkenal daripada saya - Cristiano Ronaldo

Bernama 07/11/2025 | 10:15 MYT
Bintang bola sepak Cristiano Ronaldo percaya beliau lebih terkenal daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. - Gambar fail/Stadium Astro
BERLIN: Bintang bola sepak Cristiano Ronaldo percaya beliau lebih terkenal daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Saya rasa di dunia ini, tiada siapa yang lebih terkenal daripada saya," katanya dalam temu bual bersama Piers Morgan Uncensored di YouTube pada Khamis sambil menyatakan hasrat untuk bertemu Trump kerana "beliau boleh membuat sesuatu berlaku."

Kapten Portugal berusia 40 tahun itu menambah: "Saya berharap untuk tidak terlalu terkenal. Ia membosankan, percayalah.

"Saya mahu berjaya... tetapi untuk menjadi begitu terkenal bukan sesuatu yang saya mahukan."

Penampilannya sebelum ini dalam program Piers Morgan dan kenyataan terhadap kelabnya membawa kepada perpindahannya daripada Manchester United pada 2022.

Beliau kemudian menyertai kelab Al Nassr di Arab Saudi dan terus menjaringkan gol secara konsisten.

Ronaldo berkata cuaca panas di Arab Saudi menjadikan tugas menjaringkan gol jauh lebih sukar daripada yang didakwa pengkritik.

"Bagi saya, lebih mudah menjaringkan gol di Sepanyol berbanding di Arab Saudi," kata bekas bintang Real Madrid itu. "Liga Arab Saudi jauh lebih baik daripada liga Portugal, dan liga Perancis hanya ada PSG."

Ronaldo turut menjelaskan keputusannya untuk tidak menghadiri pengebumian rakan sepasukan kebangsaan, Diogo Jota, yang meninggal dunia dalam kemalangan kereta pada Julai lepas kerana mahu tumpuan diberikan kepada Jota dan keluarganya.

"Ke mana sahaja saya pergi, ia akan menjadi tumpuan besar," katanya.

--BERNAMA-dpa





Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah yang membuat Cristiano Ronaldo percaya beliau lebih terkenal daripada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump?
    A: Cristiano Ronaldo percaya bahawa tiada siapa yang lebih terkenal daripada beliau kerana kejayaan dan pengaruhnya di dunia bola sepak.
  • Q: Mengapa Cristiano Ronaldo menyatakan bahawa beliau tidak mahu terlalu terkenal?
    A: Ronaldo menyatakan bahawa beliau tidak mahu terlalu terkenal kerana menganggapnya membosankan dan bukan matlamat utamanya.
  • Q: Mengapa penampilan Cristiano Ronaldo dalam program Piers Morgan dan kenyataan terhadap kelabnya membawa kepada perpindahannya dari Manchester United pada 2022?
    A: Penampilan Ronaldo dalam program Piers Morgan dan kenyataan terhadap kelabnya menyebabkan perpindahannya daripada Manchester United pada 2022.
  • Q: Apakah yang dinyatakan Cristiano Ronaldo mengenai tugas menjaringkan gol di Arab Saudi berbanding di Sepanyol?
    A: Ronaldo mengatakan bahawa tugas menjaringkan gol di Arab Saudi jauh lebih sukar berbanding di Sepanyol disebabkan oleh cuaca panas di sana.
  • Q: Mengapa Cristiano Ronaldo memilih untuk tidak menghadiri pengebumian rakan sepasukan kebangsaan, Diogo Jota?
    A: Ronaldo memilih untuk tidak menghadiri pengebumian Diogo Jota kerana beliau ingin memberikan tumpuan kepada Jota dan keluarganya dalam detik kesedihan mereka.



#Cristiano Ronaldo #lebih popular #Donald Trump #Piers Morgan #bola sepak