SUKAN

Tiga beregu campuran lepasi halangan pertama di Terbuka Jepun 2025

Bernama 16/07/2025 | 04:45 MYT
Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengambil masa 30 minit untuk mengetepikan lawan mereka dari Thailand. - Foto FB BAM
KUALA LUMPUR: Tiga beregu campuran negara memulakan kempen di Terbuka Jepun 2025 dengan momentum kemenangan apabila melepasi halangan pertama di Gimnasium Metropolitan, Tokyo hari ini.


Ringkasan AI
  • Tiga Beregu Campuran Malaysia Menang di Pusingan Pertama: Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin berjaya mara ke pusingan kedua Terbuka Jepun 2025 selepas menewaskan lawan masing-masing.
  • Cabaran Pusingan Kedua Lebih Sengit: Goh-Shevon akan bertemu pasangan Denmark, Chen-Toh akan berdepan wakil Indonesia atau China, manakala Pang Ron-Su Yin dijadual menentang pilihan kedua dari China.
  • Satu Beregu Tersingkir Awal: Pasangan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien gagal mara selepas tewas kepada gandingan Jepun dalam straight set.


Gandingan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mengambil masa 30 minit untuk mengetepikan lawan mereka dari Thailand Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 21-15, 21-10.

Pasangan keenam dunia itu akan berdepan Mads Vestergaard-Christine Busch dari Denmark pada pusingan kedua, esok.

Gandingan keempat dunia Chen Tang Jie-Toh Ee Wei juga tidak mempunyai masalah melepasi halangan Kevin Lee-Josephine Wu dari Kanada dengan 21-15, 21-19 untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Turut melangkah ke pusingan kedua ialah pasangan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang terpaksa mengharungi pertarungan sengit sebelum menundukkan wakil Amerika Syarikat Presley Smith-Jennie Gain 21-19, 12-21, 21-16.

Pang Ron-Su Yin berdepan halangan sukar di pusingan kedua apabila dijadual berdepan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.

Nasib berbeza buat gandingan Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien apabila tewas kepada Yuichi Shimogami-Sayaka Hobara dari Jepun 21-9, 21-8.

-- BERNAMA





#beregu campuran negara #badminton terbuka Jepun #Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie #Chen Tang Jie-Toh Ee Wei